Anda di sini

Bicara kes saman fitnah Mukhriz terhadap Tengku Sharifuddin bermula 13 Julai

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan empat hari bermula 13 Julai untuk perbicaraan kes saman fitnah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir terhadap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Mukhriz manakala peguam Ooi She Yi  dan Najihah Baharom bertindak bagi pihak Tengku Sharifuddin.

Mohamed Haniff ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 13 dan 14 Julai serta 19 dan 20 Okt untuk perbicaraan kes itu manakala 14 Jun ditetapkan untuk pengurusan kes.

Pihak kami akan mengemukakan tiga saksi iaitu plaintif (Mukhriz), bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu,” katanya.

Sementara itu, Ooi berkata pihaknya akan mengemukakan tiga saksi untuk memberi keterangan termasuk defendan (Tengku Sharifuddin).

Mukhriz memfailkan saman itu pada 3 Mei 2016 kerana mendakwa Tengku Sharifuddin telah mengeluarkan empat kenyataan yang berbaur fitnah terhadap beliau masing-masing pada 15, 20, 23 dan 26 April 2016.

Mukhriz mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan Muhyiddin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Tengku Sharifuddin dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 14 Jun 2016, menafikan empat kenyataan itu menfitnah Mukhriz tetapi menegaskan kenyataan tersebut adalah untuk menjelaskan dan menegah tuduhan yang tidak benar terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Mohamed Haniff memberitahu pemberita bahawa kes saman Mukhriz terhadap bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim ditetapkan untuk perbicaraan bermula 27 Nov.

Kes saman itu berhubung dua kenyataan Tunku Abdul Aziz yang mendakwa Mukhriz dijanjikan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).Mohamed Haniff berkata Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya ketika pengurusan kes semalam.

Selain 27 Nov, mahkamah turut menetapkan 11, 12, 18 dan 19 Jan untuk perbicaraan dan 4 Ogos ditetapkan untuk pengurusan kes,” kata peguam itu yang turut memaklumkan seramai enam saksi plaintif (Mukhriz) dan tiga saksi defendan (Tunku Abdul Aziz) akan dipanggil untuk memberi keterangan. — Bernama

Advertisement