Anda di sini

13 maut akibat ribut tengah hari di Moscow

Advertisement
 Seorang lelaki melintasi sebuah kereta yang ditimpa pokok tumbang akibat ribut kuat di Moscow, kelmarin. — Gambar Reuters
REMUK: Seorang lelaki melintasi sebuah kereta yang ditimpa pokok tumbang akibat ribut kuat di Moscow, kelmarin. — Gambar Reuters

MOSCOW: Ribut kuat melanda kawasan Moscow kelmarin, mengorbankan 13 orang dan mencederakan puluhan lagi apabila ribut kencang menumbangkan ratusan batang pokok, kata pegawai.

Taufan itu membunuh 11 orang manakala 70 lagi cedera serius,” kata datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin, menurut Interfax.

Mangsa sedang menerima rawatan yang baik.”

Dua lagi kematian dilaporkan kemudian, dan jawatankuasa siasatan di kawasan Moscow berkata seorang budak perempuan berusia 11 tahun dan seorang lelaki berusia 57 tahun terbunuh, seorang dihempap oleh pokok yang tumbang dan seorang lagi pagar yang diterbangkan ribut.

Terdahulu penyiasat berkata kebanyakan mangsa maut akibat pokok tumbang dan pelbagai struktur, termasuk sebuah perhentian bas. Penyiasat telah pergi ke tempat kejadian kemalangan dan menyoal saksi.

Mangsa yang cedera menerima rawatan di 10 kemudahan perubatan di ibu negara, menurut jabatan kesihatan tempatan, memberi amaran angka kematian mungkin meningkat.

Sobyanin menyampaikan takziah dan menyifatkan tragedi tersebut luar biasa.

Ribut tersebut berlaku waktu tengah hari, sebab itulah mengapa mangsanya begitu ramai,” katanya.

Sobyanin sebelum itu menulis dalam Twitter: “Beberapa ratus batang pokok tumbang. Kami mengambil langkah perlu untuk menangani akibatnya.”

Jabatan kecemasan Moscow menghantar unit untuk mengalihkan pokok yang tumbang tetapi tidak ada maklumat mengenai sebarang kerosakan penting yang serius, kata seorang jurucakap yang dihubungi.

Cuaca menyebabkan kelewatan di lapangan terbang di Moscow manakala khidmat kereta api ekspres ke lapangan terbang Vnukovo dihentikan sementara pekerja mengalih sebatang pokok dari landasan.

Pengarah jabatan kaji cuaca Gidromedtsentr di Rusia, Roman Vilfand, memberitahu agensi Rusia bahawa kelajuan ribut mencecah 22 meter sesaat sewaktu taufan itu dan satu lagi taufan dijangka melanda ibu negara pada sebelah malam.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, seorang anggota tentera udara maut dan lima yang lain cedera semalam apabila pesawat pengangkut mereka terhempas ketika mendarat lalu terbakar selepas penerbangan latihan dekat bandar tengah Saratov, menurut pihak berkuasa.

Kementerian pertahanan berkata, insiden sekitar jam 6 pagi waktu tempatan itu mungkin berpunca daripada kegagalan salah satu enjin Antonov AN-26 itu.

Enam orang berada di dalam pesawat apabila ia mendarat dengan kuat di aerodrom Balashov, menurut kementerian yang dipetik oleh agensi berita Interfax.

Pesawat pengangkut AN-26 rekaan Soviet masih digunakan secara meluas di Rusia dan di negara-negara membangun.

Pada 2013, sembilan mati apabila sebuah AN-26 terhempas di atas kompleks gudang tentera di wilayah jauh Siberia. — AFP

Advertisement