Anda di sini

Purata 80% lepasan program hospitaliti 1Azam di Ascot Academy dapat pekerjaan

Advertisement
 (Dari kiri) Recy , Jasran dan Mohd Annuar antara peserta program 1Azam pada Majlis Penyampaian Sijil Untuk Program 1Azam ‘Kursus Asas Kemahiran Hospitaliti’ semalam. — Gambar Bernama
GEMBIRA: (Dari kiri) Recy , Jasran dan Mohd Annuar antara peserta program 1Azam pada Majlis Penyampaian Sijil Untuk Program 1Azam ‘Kursus Asas Kemahiran Hospitaliti’ semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Purata 80 peratus daripada  setiap kumpulan lepasan latihan Kursus Asas Kemahiran Hospitaliti di bawah program 1AZAM di Ascot Academy memperoleh pekerjaan, kata Pengurus Pemasaran dan Operasi Ascot Academy Norlizah Dugad.

Katanya bagi kumpulan terbaharu 100 lepasan program 1AZAM yang menamatkan latihan program selama tiga bulan itu dan menerima sijil masing-masing semalam, kira-kira 70 peratus daripada mereka sudah memperoleh pekerjaan.

Beliau berkata, bagi pelatih yang belum menerima sebarang tawaran kerja,  pihak Ascot Academy akan terus berusaha membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu, rata-rata pelatih program 1AZAM iaitu program kerajaan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar meningkatkan pendapatan menyatakan keazaman untuk berjaya dalam kerjaya yang diceburi seterusnya berbakti kepada keluarga.

“Saya ingin membantu ibu dan adik-adik saya masih bersekolah. Saya ingin membawa keluarga saya keluar dari belenggu kemiskinan,” kata Mohd Anuar Ariffin, 23, yang merupakan salah seorang pelajar terbaik bagi Program Pengemasan Bilik, latihan berkenaan.

Anak keempat daripada enam adik-beradik yang kehilangan ayah pada tahun 2015 itu berkata, sebelum ditawarkan menyertai latihan di Ascot Academy dia membantu menyara keluarganya dengan bekerja sebagai pekerja kilang minyak sawit.

“Pada mulanya, saya agak keberatan juga untuk menerima tawaran latihan di Ascot Academy itu namun mengubah fikiran selepas emak saya meminta saya menerima tawaran itu. Emak berharap, latihan itu akan mengubah nasib kami,” kata Mohd Anuar yang sudah menerima tawawan bekerja di Genting World Hotels & Resorts.

Recy Mex Abdullah, 23, dari daerah pedalaman Telupid yang tinggal bersama ibunya selepas ibu dan bapanya berpisah, selain berkongsi inspirasi dengan Mohd Anuar untuk membantu keluarga, dia juga menanam azam untuk menjadi pengajar dalam bidang hospitaliti suatu hari nanti.

Anak bungsu dari empat beradik yang muncul pelajar terbaik Program Makanan & Minuman (Food & Beverage) dan sudah ditawarkan bekerja di Jen Hotel Johor Baharu itu berkata, sepanjang tempoh latihannya selama tiga bulan itu beliau banyak mendapat inspirasi untuk menjadi tenaga pengajar  daripada pensyarah-pensyarahnya yang kebanyakannya pernah bekerja di sektor hospitaliti.

“Saya berpendapat program 1AZAM yang disediakan kerajaan ini perlu diteruskan kerana ia boleh membuka peluang pekerjaan dan memberi ilmu pengetahuan,” katanya.

Jasran Jamaluddin, 18, dari Kampung Kubang, Semporna yang juga antara pelajar terbaik untuk Program Pengemasan Bilik pula bercita-cita untuk berjaya dalam kerjaya hospitaliti pada masa akan datang.

Beliau yang sudah ditawarkan bekerja di The Boulevard St Giles Hotel Mid Valley, Kuala Lumpur berkata, selain ingin berbakti kepada ibu bapanya yang hanya bekerja sebagai petani, beliau yang merupakan anak keenam daripada sembilan adik-beradik, juga ingin meringankan beban ibu bapanya  menyekolahkan adik-adiknya. — Bernama

Advertisement