Anda di sini

Khidmat JP boleh dimanfaat untuk penduduk pedalaman

Advertisement

KOTA KINABALU: Khid-mat Jaksa Pendamai (JP) berkelayakan di sisi undang-undang yang dilantik oleh Ketua Negeri Sabah boleh dimaksimumkan untuk manfaat penduduk khususnya di kawasan pedalaman di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, ini termasuk membenarkan JP berkelayakan untuk berkhidmat sebagai majistret kelas kedua untuk membicarakan kes kecil dan permohonan reman apabila ketiadaan majistret residen dan apabila Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah tidak dapat mengendalikannya atas urusan lain.

“Majlis Jaksa Pendamai Sabah (Majaps) berpandangan bahawa kerajaan negeri boleh mewartakan, menerusi kuasa Ketua Menteri, JP bekelayakan di sisi undang-undang dilantik sebagai majistret kelas kedua bagi membantu mahkamah menyelesaikan kes-kes tertunggak.

“Saya akan meneliti perkara ini. Saya juga difahamkan bahawa JP bersedia untuk memberikan khidmat mereka secara sukarela,” katanya pada perasmian seminar undang-undang yang dianjurkan bersama oleh Majaps dan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA) di sini, semalam.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Edward Yong Oui Fah.

Musa mencadangkan JP dilatih sebagai perantara untuk membantu menyelesaikan kes-kes pertikaian membabitkan tanah atau harta boleh alih serta tuntutan kemalangan yang difailkan di mahkamah di negeri ini, sekali gus dapat mengurangkan beban mahkamah.

Beliau berkata JP juga boleh dilantik sebagai kerani di Mahkamah Anak Negeri  untuk membantu dalam pentadbiran harian Mahkamah Anak Negeri dan untuk memberi panduan kepada ketua-ketua kaum peribumi mengenai undang-undang.

“Saya akan meminta Peguam Negeri (AG) untuk mengkaji cadangan daripada Majaps bagi JP memainkan peranan lebih efektif,” katanya.

Musa berkata beliau juga akan mendapatkan nasihat daripada Pejabat AG Negeri untuk kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling kepada kementerian dan agensi persekutuan untuk memperakui dan mengiktiraf kuasa JP di Sabah, yang mungkin berbeza dengan kuasa JP di Semenanjung.

“Satu daripada kebimbangan disuarakan oleh Majaps ialah pentingnya untuk mengiktiraf perakuan dan pengesahan oleh JP di Sabah pada dokumen rasmi kerajaan Persekutuan.

“Di Semananjung, kuasa JP terhad kepada pengesahan dokumen manakala di  Sabah, JP boleh mengesahkan dokumen di samping menjadi saksi atau memberi perakuan kepada tanda tangan oleh individu yang menandatangannya di hadapan JP,” katanya.

Musa berkata kerajaan negeri menyokong usaha Majaps dan SLA dalam mewujudkan kesedaran tentang hak dan isu berkaitan undang-undang, dan beliau turut mengumumkan bantuan RM50,000 masing-maing kepada Majaps dan SLA. — Bernama

Advertisement