Anda di sini

Hukuman penjara ditambah kepada 12 tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menambah hukuman penjara terhadap seorang bekas pembantu tadbir Jabatan Akauntan Negara daripada dua tahun kepada 12 tahun atas 29 pertuduhan memalsukan dokumen baucar bayaran membabitkan kerugian berjumlah RM918,811.25.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memerintahkan Rosinah Harun, 57, dipenjara 12 tahun bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya dan mengarahkan semua hukuman itu berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 19 April 2016.

Mohamad Shariff membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap wanita itu.

Dalam penghakimannya Mohamad Shariff menyifatkan perbuatan tertuduh adalah kesalahan yang sangat serius dan tidak boleh ditolak ansur.

“Dalam kes ini mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam malah lebih buruk perbuatan tertuduh telah menjejaskan integriti jabatan kerajaan tempat tertuduh bekerja,” katanya.

Rosinah mengaku bersalah atas kesemua 29 pertuduhan memalsukan suatu dokumen yang merupakan cagaran berharga iaitu baucar bayaran berjumlah RM918,811.25 antara 27 Ogos 2008 hingga 21 Disember 2010.

Pada 19 April tahun lepas, di Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara dua tahun  bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Dia melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Akauntan Negara, Tingkat  42, Menara Maybank di sini mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri berhujah bahawa hukuman dua tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen adalah tidak memadai dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

“Tindakan tertuduh yang memalsukan baucar dan memasukkan wang  hampir RM1 juta ke dalam beberapa akaunnya dan ahli keluarganya adalah satu jenayah berat. Tertuduh melakukannya dengan perancangan teliti selama dua tahun dan perbuatannya itu dilakukan sendiri tanpa melibatkan orang lain,” katanya.

Rosinah yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman dua tahun  itu dikekalkan. Selepas keputusan itu tertuduh yang kelihatan tenang dipeluk oleh adik lelakinya.

Menurut fakta kes, pengadu yang juga Timbalan Pengarah Seksyen Pengurusan Amanah jabatan tersebut menyedari terdapat transaksi pembayaran baucar wang tidak dituntut yang tidak didepositkan ke dalam akaun pemilik sebenar apabila sedang memproses salah satu permohonan.

Semakan lanjut mendapati terdapat 29 permohonan telah dibuat atas nama individu berbeza, beberapa buah syarikat dan pertubuhan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tetapi wang berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan ahli keluarga tertuduh serta syarikat yang dimilikinya dan anak tunggalnya.

Semasa rayuan di Mahkamah Sesyen, wanita tersebut yang menjadi ibu tunggal sejak 2005 memberitahu telah bekerja di jabatan tersebut selama 30 tahun dan kini menghidap penyakit tekanan darah tinggi. — Bernama

Advertisement