Anda di sini

Gerai bazar Ramadan kotor akan ditutup: DBKK

Advertisement

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menutup sementara mana-mana gerai di bazar Ramadan yang didapati gagal menjaga kebersihan.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata, penutupan sementara itu akan dilakukan selama sehari atau dua hari bagi memberi ruang kepada peniaga membersihkan kawasan gerai mereka.

Selepas itu baharulah peniaga berkenaan dibenarkan membuka semula gerai mereka.

Pada masa sama, DBKK akan sentiasa membuat pemantauan di tapak-tapak bazar Ramadan dari semasa ke semasa seperti yang dilakukan setiap tahun.

“Kita juga menyarankan peniaga gerai (bazar Ramadan) supaya sentiasa menjaga kebersihan sebab kebanyakan mereka ini sudah berniaga bertahun-tahun, sepatutnya mereka sudah tahu tentang kebersihan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Sutera Harbour Resort bersama Media, di sini, Sabtu lepas.

Mengenai bazar Ramadan pada tahun ini, Yeo berkata sebanyak lima kawasan bazar baharu diluluskan di sekitar Kota Kinabalu pada tahun ini. Ia menjadikan kawasan bazar Ramadan di bawah bidang kuasa DBKK tahun ini menjadi 35 kawasan melibatkan lebih kurang 1,000 gerai.

Tapak bazar baharu itu termasuklah di Wisma Merdeka, 1Borneo Hypermall dan juga Oceanus Waterfront Mall.

Berkenaan usaha Pacific Sutera Harbour yang menampilkan konsep bufet Selera Kampung, Yeo memuji konsep berkenaan kerana ia membolehkan pelanggan menikmati juadah berbuka dengan suasana yang kondusif sama seperti suasana kampung.

“Tahniah kepada Gerald Tan (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Harbour Resort) atas inisiatif memperkenalkan konsep sebegini,” katanya.

Bufet Selera Kampung di Pacific Sutera Harbour menampilkan 300 jenis hidangan yang mana, 70 peratus daripada hidangan itu adalah masakan kampung.

Antara hidangan menarik yang disediakan adalah nasi arab kambing bakar, nasi kerabu, ayam shawarma, nasi kandar serta sup tulang herba.

Pelanggan boleh menikmati hidangan yang ditawarkan pada harga RM128 nett untuk dewasa dan RM64 nett bagi kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun.

Advertisement