Anda di sini

Restoran makanan segera Emart Tudan terbakar

Advertisement
 Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di bahagian dalam restoran terbabit.
USAHA: Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di bahagian dalam restoran terbabit.

Kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu dikatakan berpunca daripada api di bahagian dapur 

MIRI: Puasa pada hari pertama kelmarin dikejutkan dengan kejadian kebakaran sebuah restoran makanan segera di Pusat Komersial Emart Tudan di sini petang kelmarin.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 4.50 petang itu dikatakan berpunca daripada api di bahagian dapur restoran terbabit.

Menurut sumber, tiga pekerja restoran terbabit cuba memadamkan kebakaran menggunakan enam unit alat pemadam api tetapi gagal lalu merebak sebelum terus menghubungi pihak bomba serta membuat pengosongan bangunan.

Sebanyak 25 Pasukan Bertindak Kecemasan (PBK) Emart turut membantu mengawal dan memadam kebakaran peringkat awal dengan membentang satu aliran hos sebelum bomba tiba.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba 1 Law Poh Kiong berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya 15 kilometer dari balai selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 4.51 petang.

Ketika sampai di lokasi kami mendapati restoran tersebut telah hangus dalam 60 peratus.

Kebakaran hanya melibatkan bangunan restoran makanan segera di tingkat bawah sahaja manakala premis menjual pakaian di tingkat atas restoran tersebut tidak terjejas,” katanya.

Law berkata operasi pemadaman dijalan menggunakan tiga aliran hos 300 kaki serta tiga nozel menggunakan pam jentera dan sumber air daripada pili bomba berhampiran premis terbabit.

Api dapat dikawal sekitar jam 5.49 petang dan padam sepenuhnya pada kira-kira jam 6.59 petang.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut dan operasi tamat jam 7.15 petang,” katanya.

Seramai 10 anggota bomba diketuai PBK II Jimmy Suhaili dengan sebuah FRT Scania, sebuah Prime Mover Water Tanker dan sebuah Nissan Urvan berada di lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

  • oleh
  • Advertisement