Anda di sini

Jangan memandu jika berasa letih atau mengantuk

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengingatkan pemandu kenderaan supaya tidak memandu jika berasa letih atau mengantuk bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.

Jangan memandu jika anda berasa penat atau kurang tidur. Keletihan meningkatkan risiko berlaku kemalangan,” kata beliau menerusi catatan dalam Facebook.

Ia menjadikan kita kurang menyedari mengenai apa yang berlaku di jalan raya dan menjejaskan keupayaan kita untuk bertindak balas dengan pantas dan selamat jika situasi yang berbahaya timbul,” kata beliau.

Sementara itu, pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata jumlah kemalangan membabitkan perjalanan ulang-alik telah meningkatkan hampir 30 peratus dalam masa hanya enam tahun, daripada 22,036 kes pada 2010 kepada 28,579 kes pada 2015.

Kemalangan itu merujuk kepada nahas jalan raya yang berlaku apabila pekerja membuat perjalanan ulang-alik ke dan dari tempat kerja.

Lee, yang juga pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) berkata majikan bertanggungjawab untuk melindungi pekerja mereka dan pengguna jalan raya yang lain dengan menangani risiko jalan raya.

Majikan perlu membangunkan dan melaksanakan prosedur keselamatan dan program latihan yang komprehensif untuk membantu pekerja mereka menjadi pemandu dan penunggang yang cekap dan berhemah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tali pinggang keledar harus disediakan bagi semua penumpang yang menaiki kenderaan syarikat yang juga harus menjalani pemeriksaan mengikut jadual penyelenggaraan yang sewajarnya. — Bernama

Lee juga mencadangkan supaya kerajaan memasukkan aspek keselamatan jalan raya dalam sukatan pelajaran untuk membantu menyamai etika dan tingkah laku yang baik di jalan raya di kalangan kanak-kanak.

Pihak berkuasa harus mengenal pasti semua laluan berbahaya di sepanjang jalan persekutuan, negeri dan perbandaran serta mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.

Beliau juga berkata hukuman penjara mandatori harus dikenakan ke atas mereka yang memandu secara cuai dan menyebabkan kematian orang lain. — Bernama

Advertisement