Anda di sini

Dennis dan Yii rasmi Surau Abu Bakar As Siddiq Desa Senadin

Advertisement

MIRI: Surau Abu Bakar As Siddiq Desa Senadin menghimpunkan jemaah pelbagai negara bagi bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan solat sunat Terawih malam kelmarin.

Surau yang menjadi mercu tanda kepada masyarakat Islam di Senadin itu siap sepenuhnya sebelum Ramadan dan ia menampung 200 jemaah pada satu-satu masa.

Majlis pembukaan surau itu dihadiri jemaah pelbagai negara termasuk pelajar dan pensyarah antarabangsa Curtin University Sarawak serta pekerja minyak dan gas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau dan Datuk Bandar Miri Adam Yii hadir sama bagi merasmikan pembukaan surau terbabit.

Dennis berkata kawasan Desa Senadin memiliki penduduk pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam suasana harmoni dan beliau sendiri tidak keberatan untuk hadir ke surau terbabit.

Ini keunikan yang terdapat di Sarawak, tidak kira bangsa dan agama, kita hidup dalam suasana harmoni serta membantu satu sama lain,” katanya.

Dennis menambah, perayaan di negara ini juga diraikan bersama-sama dengan rakan lain yang berlainan agama dan kepercayaan.

Sebagai contoh katanya, umat Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri kebiasaannya mengadakan rumah terbuka dan menjemput rakan-rakan berlainan agama dan begitu juga sebaliknya.

Meskipun kita berlainan kepercayaan dan agama, namun kita menghormati satu sama lain dan ia menjadi lambang perpaduan rakyat Sarawak tidak kira di bandar atau luar bandar,” jelasnya.

Surau itu juga katanya, dihadiri jemaah dari India, Pakistan dan negara Eropah lain yang bersama-sama penduduk tempatan menunaikan solat tanpa sebarang masalah atau diskriminasi.

Sementara itu, Adam Yii kagum dengan komitmen jawatankuasa surau berkenaan yang berusaha merealisasikan impian untuk membina surau pertama di kawasan berkenaan.

MBM katanya, akan membantu jawatankuasa untuk memasang lampu, tong sampah dan sebagainya untuk kemudahan umat Islam.

Advertisement