Anda di sini

Warrior HC juara Kejohanan Hoki Reunion Shield

Advertisement

MIRI: Kelab Hoki Warrior Miri (Warrior HC) muncul juara keseluruhan untuk kali ketiga berturut-turut menerusi Kejohanan Hoki Reunion Shield yang berlangsung di Padungan, Kuching pada 20 Mei lalu.

 Jurulatih Hoki Miri Rudi Naziri berkata, kemenangan yang diraih pada tahun 2015, 2016 dan 2017 menjadi kebanggaan ahli Warrior HC, sekali gus menaikkan nama sukan hoki di Miri.

 “Seperti setiap kali kejohanan yang disertai Warrior HC, pemain kami sentiasa memberi yang terbaik dan berlatih bersungguh-sungguh, bahkan membawa pulang kejayaan yang membanggakan.

 “Kami menggunakan kemudahan padang simen di sekolah dan juga di Pusat Belia Miri untuk menjalankan latihan, dan saya sentiasa mengagumi semangat juang mereka yang tinggi walaupun tidak mempunyai kemudahan padang hoki bersesuaian,” ujarnya.

 Rudi turut berterima kasih kepada kerjasama Pengurus Pasukan iaitu Anderson Sigat dan Azlan Kamil yang mengendali pasukan Warrior HC dengan baik dan memastikan kejayaan dicapai.

 Selain menjuarai kejohanan Reunion Shield, Warrior HC turut memenangi tempat kedua untuk Kejohonan Hoki 6 Sebelah anjuran Persatuan Hoki Sarawak di Padang Padungan pada 20 dan 21 Mei.

 “Kami juga memenangi tempat kedua pada Kejohanan Mas Borneo 9 Sebelah di Sabah bagi Kategori Plate yang diadakan pada 13 dan 14 Mei lalu.

 “Walaupun tiada tajaan yang mencukupi untuk menyertai kejohanan di Sabah terbabit, namun memenangi tempat kedua tersebut sudah membanggakan pasukan kami,” ujarnya.

 Tambah Rudi, pihaknya terus mengharapkan pihak kerajaan yang berkaitan untuk membantu menyediakan kemudahan yang bersesuaian untuk sukan hoki di Miri.

 “Dengan adanya padang hoki sesuai, saya yakin ia bukan sahaja meningkatkan semangat di kalangan pemain hoki, tetapi secara langsung terus membantu meningkat dan menaikkan sukan hoki di Miri,” katanya.

Advertisement