Anda di sini

Pemain bintang bakal warnai Liga Bola Sepak Serian

Advertisement

KUCHING: Kegagalan merangkul kejuaraan sulung Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2016/2017 pada minggu lepas tidak mematahkan semangat Serian FA.

 Sebaliknya, skuad itu telah merangka perancangan rapi dalam misi melakar sejarah menjuarai kejohanan berprestij itu pada edisi ketiga yang dijadual bermula Ogos ini.

 Setiausaha Kehormat merangkap Pengurus Pasukan LBR Serian FA, Philip Jabu memberitahu bagi tujuan itu Persatuan Bola Sepak Serian (PBBS) akan memantapkan penganjuran Liga Bola Sepak Serian 2017 dengan menyasarkan ramai pemain bintang tempatan untuk turut serta.

 “Kedudukan Serian FA selaku naib juara LBR 2016/2017 dijangka sudah cukup menarik minat pemain bertaraf bintang berhijrah ke Liga Serian selepas ini.

 “Malah, kita juga dalam proses mempelawa pemainpemain ternama untuk turut sama mewarnai kancah Liga Bola Sepak Serian yang dijangka bermula pada awal Julai nanti,” ujar Philip semalam.

 Menurutnya, kehadiran ramai pemain bintang bukan sahaja membantu menaikkan imej liga itu tetapi pada masa yang sama menjadi landasan untuk meningkatkan kualiti permainan skuad yang mengambil bahagian.

 Sekali gus, katanya ia akan membantu PBBS membentuk skuad Serian FA yang jauh lebih mantap dan mampu mencabar kejuaraan LBR musim baru nanti.

 “Kami telah belajar dari situasi yang berlaku dan terlepas gelaran juara.

 “Namun, ia tidak mematah hasrat Serian FA untuk berada di pentas final LBR sekali lagi dan kami akan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai misi itu,” tambahnya lagi.

 Mengulas mengenai penyertaan Serian FA dalam saingan Piala FAM 2018, Philip memberitahu perkara itu masih belum diputuskan oleh Penaung PBBS, Dato Sri Richard Riot Jaem dan Presiden PBBS, Mcalister Richard Riot.

 Apa yang pasti, keputusan itu akan diketahui dalam masa terlekat selepas menerima kata putus dari dua teraju utama persatuan itu.

 Walaupun sekadar naib juara, para pemain Serian FA tetap menerima imbuhan khas daripada Richard sebagai bonus bagi menyambut perayaan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Advertisement