Anda di sini

EDB Bahrain rancang penerbangan terus

Advertisement

Dalam usaha untuk tingkatkan hubungan perdagangan dua hala Bahrain-Malaysia

MANAMA: Lemba g a Pembangunan Ekonomi (EDB) Bahrain sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan di Malaysia bagi memulakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Bahrain, dalam usaha meningkatkan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

 Pengarah Urusan EDB Bahrain, Dr. Simon Galpin, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai syarikat penerbangan terbabit dan perkembangan perbincangan tersebut.

 “Satu daripada bidang yang ingin kami terokai (bagi meningkatkan prdagangan dua hala) ialah penerbangan terus ke Malaysia.

 “Jika kami boleh lakukannya, ia akan menjadi satu kelebihan besar,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke EDB Bahrain di sini, baru-baru ini.

 Galpin berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain kini sedang diperbesarkan.

 “Lapangan terbang itu kini dalam kerja pembinaan untuk pembesaran dan ia hampir 40 peratus siap,” katanya.

 Mengenai pelancongan, Galpin berkata, negara itu mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari Asia, terutama dari India dan Malaysia.

 “Kami inginkan pertumbuhan dalam sektor pelancongan dan kini kami mempunyai berjuta-juta pelawat.

 Kami mahu bukan sahaja jumlah ketibaan, tetapi kami juga mahu mereka tinggal lebih lama.

 “Jika kami boleh memperluaskan tawaran pelancongan seperti tarikan baharu, resort dan hotel baharu, kami yakin mereka akan tinggal lebih lama,” tambah beliau.

 Sementara itu, Duta Malaysia ke Bahrain, Agus Salim Yusof berkata, terdapat potensi untuk pengendali syarikat penerbangan di Malaysia untuk menubuhkan pangkalan di sini kerana Bahrain mengalu-alukan syarikat penerbangan datang ke negara ini.

 Galpin berkata, syarikat penerbangan nasional Bahrain, Gulf Air, pernah terbang ke Malaysia tetapi perkhidmatan itu dihentikan pada 2012, manakala syarikat-syarikat penerbangan Malaysia tidak pernah ke Bahrain.

 “Gulf Air mempunyai rancangan itu beroperasi semula di Malaysia, tetapi masalahnya ia tidak mempunyai pesawat yang cukup.

 “Saya telah dimaklumkan oleh menteri yang Gulf Air akan menerima beberapa pesawat baharu dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi, hanya selepas itu mereka boleh ke Malaysia lagi,” katanya.

 Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain dengan kos 1.1 bilion dinar, (1 dinar Bahrain = RM11.32) bertujuan untuk menambah kapasiti kepada 14 juta penumpang setahun.

 Projek yang dimulakan pada Februari tahun lepas dan dijadual siap pada 2020, melibatkan pembinaan satu terminal penumpang baharu di samping pembinaan slot pendaratan tambahan, satu bangunan perkhidmatan dan satu hangar.

 Terminal penumpang baharu itu mempunyai keluasan 201,467 meter persegi, iaitu empat kali lebih besar daripada terminal sedia ada.

 Ia juga akan mengandungi 24 jambatan udara, apron lapangan terbang, dewan pelepasan, kaunter daftar masuk, kawasan bebas cukai, lorong keselamatan, tempat pemeriksaan pasport, ruang tuntutan bagasi serta tempat letak kereta.

 — Bernama

Advertisement