Anda di sini

Zulin Aziz juara Perang Bibir, tewaskan Neera & Ryzal

Advertisement
 Wang tunai sebanyak RM30,000 menjadi milik Zulin Aziz.
JUARA PERANG BIBIR: Wang tunai sebanyak RM30,000 menjadi milik Zulin Aziz.

MENAMPILKAN 24 artis popular Malaysia sebagai contender yang menggayakan semula lagu-lagu hits dari carta lagu tempatan dan antarabangsa, program hiburan popular TV9, Perang Bibir telah meraikan Zulin Aziz sebagai juara di episod akhir yang disiarkan pada 18 Mei 2017 yang lepas.

Dikenali dengan perwatakannya yang lucu, ceria dan ‘happy go lucky’, Zulin Aziz telah membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 dan baucar penginapan 3 hari 2 malam tajaan Swiss Garden Beach Resort Kuantan.

Perang Bibir Final menyaksikan persaingan sengit antara Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar. Masing-masing mempunyai kekuatan dan tarikan tersendiri, persembahan lip sync mereka sangat menghiburkan sepanjang satu jam program bersiaran.

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Zurina Othman, sepanjang program ini bersiaran selama tiga bulan, Perang Bibir berjaya meraih 1.7 juta penonton di episod akhir dan #PerangBibir turut menjadi perbualan hangat di laman sosial.

“Sambutan hangat dan respon positif yang diterima daripada penonton TV9 merupakan hadiah terbaik buat 24 artis popular dan krew penerbitan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.

“Jutaan terima kasih atas komitmen dan semangat yang dipamerkan oleh rakan-rakan artis dan krew produksi Perang Bibir. Insya Allah, Perang Bibir akan kembali dengan pengisian lebih menarik pada masa hadapan,” katanya.

Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar telah diberikan tiga cabaran iaitu persembahan lip sync secara berduet dengan artis pilihan, lip game ‘Whisper Challenge’ dan persembahan lip sync secara solo dengan lagu pilihan sendiri. Para penonton juga dihiburkan dengan persembahan istimewa ‘Yellow Claw” oleh Raja Lip Sync, Ucop dan ‘Bintang Hati’ daripada Amy Mastura.

Persembahan mereka ditentukan oleh penilaian markah daripada juri jemputan iaitu Amy Mastura dan Raja Lip Sync, Ucop sebanyak 50 peratus dan 50 peratus daripada sorakan atau jeritan penonton studio.

Dalam segmen pertama, Zulin Aziz menampilkan Ain Sufia dalam persembahan lagu Ayda Jebat ‘Nakal, Nakal, Nakal’. Walaupun dikerumuni kumpulan penari, Zulin Aziz masih berjaya menjadi tumpuan mata penonton dan menerima komen positif daripada Amy Mastura dan Ucop.

Neera Azizi yang diberikan lagu ‘Cindai’ telah memilih Mustaqim Bahadon sebagai pasangan duet dalam persembahannya. Neera Azizi perlu lebih teliti dalam gerakan bibir dan juga menjaga ekspresi muka semasa nada tinggi, malah dia juga harus berinteraksi dengan penonton.

Ryzal Jaafar telah beraksi dengan artis jemputannya, Syazwan Zulkifly menerusi lagu rancak, ‘Party Rock Anthem’. Amy Mastura memberikan komen bahawa Ryzal perlu menonjol dalam kalangan penari dan bukan menjadi bayang.

Ucop turut mengingatkan Ryzal untuk mengutamakan lip sync kerana perkara itu yang menjadi penentuan dalam pertandingan ini. Zulin Aziz telah mendahului sebanyak 82 markah manakala Neera (73 markah) dan Ryzal (67 markah) di segmen pertama itu.

Seterusnya, Zulin, Neera dan Ryzal perlu meneka perkataan yang dibisik oleh Amy Mastura dan Ucop dengan memakai fon kepala yang telah dipasang muzik yang kuat dalam lip game – Whisper Challenge.

Neera telah disingkir awal dan gagal meraih sebarang markah. Sekali lagi, Zulin menjadi pemenang dan meraih 25 markah manakala Ryzal mendapat 10 markah dalam segmen kedua itu.

Para penonton terus dihiburkan dengan persembahan lip sync solo daripada Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar di segmen terakhir.

Lagu hits Beyonce, ‘Listen’ menjadi pilihan Zulin Aziz, Neera Azizi mempertaruhkan lagu popular Lady Gaga, ‘Bad Romance’ sementara Ryzal Jaafar pula memilih lagu Projektor Band, ‘Sudah Ku Tahu’.

Zulin Aziz berjaya memukau penonton walaupun hadir tanpa penari dan penggunaan props di pentas. Neera Azizi pula dapat menguasai pentas dengan baik selepas mengambil kira tentang nasihat daripada Amy Mastura dan Ucop.

Persembahan Ryzal Jaafar juga menerima pujian daripada para juri apabila berjaya menepati kriteria lip sync dan pandai mengawal emosi dalam melodi lagu.

Akhirnya, Perang Bibir 2017 melabuhkan tirainya dengan pengumuman Zulin Aziz sebagai juara.

Beliau tidak menjangka kemenangan tersebut. Semasa pusingan kelayakan, Zulin hanya dapat mengumpul enam peminat tetapi beliau bersyukur dengan rezekinya sehingga mara ke episod akhir.

Zulin Aziz mendedikasikan kepada keluarga dan kelab peminatnya yang sentiasa menyokong dan membakar semangat sepanjang penglibatan dalam industri seni.

Program ini dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Dennis Yin telah bersiaran selama 12 episod di TV9.

Advertisement