Anda di sini

Rasuah: Pegawai penguat kuasa KDN mengaku tidak bersalah

Advertisement

KUCHING: Seorang pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan terima suapan berjumlah RM5,250 di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong memerintahkan tertuduh, Omar Mohd Bahari, 53, dibebas dengan ikat jamin sebanyak RM15,000 berserta dua penjamin sementara menunggu sebutan lanjut dan perbicaraan kes tersebut.

Pada masa sama Nixon menetapkan 16 Jun depan untuk sebutan lanjut kes dan perbicaraan kes pula ditetapkan pada 1 hingga 4 Ogos tahun ini.

Omar didakwa atas tuduhan menerima suapan RM1,750 bagi setiap pertuduhan daripada pengadu pada tiga tarikh berbeza iaitu 18 Jun, 7 dan 27 Julai 2015.

Kesemua duit suapan itu diterima tertuduh bagi memastikan pengadu tidak diambil tindakan undang-undang kerana menjual cakera padat VCD dan DVD haram di bawah Akta Penapisan Filem 2002.

Omar didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Tertuduh hadir bersama keluarganya di Mahkamah Sesyen semalam turut tidak diwakili peguam bela.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Low Chin How.

Advertisement