Anda di sini

PPM tahan tiga lelaki terlibat aktiviti tangkap penyu

Advertisement

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang pemilik sangkar ikan dan dua pekerjanya ditahan di perairan Pulau Denawan selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap penyu, dekat sini petang kelmarin.

Komander PPM Wilayah Empat Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata ketika anggotanya melakukan pemantauan di kawasan sekitar, kelihatan tiga-tiga suspek berusia 16, 20 dan 32 tahun itu dalam keadaan mencurigakan, sedang memunggah sesuatu dari perahu ke sangkar ikan kira-kira jam 4.30 petang.

“Pemeriksaan ke atas sangkar ikan itu menemui 53 kilogram ketulan daging yang disyaki daging penyu yang dijemur.

“Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar pesisir serta belukar berhampiran pula menemui 32 kilogram cengkerang (tulang) dan kelengkapan memasak disyaki untuk proses memasak isi daging penyu itu,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kesemua suspek serta barang rampasan iaitu perahu, enjin bersama ketulan isi penyu dan cengkerang dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk siasatan lanjut. — Bernama

Advertisement