Anda di sini

Inisiatif JPN laksana DPP tiada kaitan spekulasi pilihan raya

Advertisement

TAWAU: Inisiatif pelaksanaan Projek Hab Percetakan Teragih MyKad (DPP) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan spekulasi pilihan raya, yang kononnya akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah JPN Malaysia Dato’ Mohd Yazid Ramli berkata pelaksanaan DPP adalah inisiatif JPN memberi nilai tambah kualiti perkhidmatan jabatan itu kepada pelanggan (rakyat).

“Inisiatif ini kita jalankan bukan untuk jangka masa terhad tetapi melibatkan pelan jangka masa panjang, malah melibatkan dua lagi rakan strategik kita,” katanya di sini, kelmarin.

Beliau ditemui sempena Majlis Pelancaran DPP Siap Dalam Tujuh Hari Di Semua Pejabat Cawangan JPN Sabah, di UTC JPN Tawau, yang turut dihadiri Pengarah JPN Sabah Datuk Ismail Ahmad.

Yazid berkata dua rakan strategik JPN yang terlibat adalah Pos Malaysia dan syarikat swasta, Datasonic, yang dijalankan berasaskan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Menurutnya pelaksanaan DPP juga melibatkan pembangunan sistem dan perbincangan terperinci bersama dua rakan strategiknya tanpa dipengaruhi dengan motif pilihan raya.

Menyentuh keberkesanan DPP menangani isu teknikal seperti kekeliruan status agama pemilik MyKad, beliau berkata hal itu berbalik kepada data yang diisi pemohon.

“Untuk memohon atau menukar MyKad, JPN akan merujuk kepada maklumat-maklumat yang disahkan benar atau diperakui oleh pemohon sendiri di dalam borang permohonan.

“Kalau ada kesilapan berlaku, kita alu-alukan pemilik MyKad supaya tampil ke pejabat JPN untuk membuat semakan semula dan mengenal pasti kesilapan yang ada,” katanya.

Advertisement