Anda di sini

Marawi dibom tatkala krisis kian rumit

Advertisement

MARAWI: Pasukan keselamatan Filipina mengebom sebuah bandar selatan semalam ketika mereka menggempur militan pemisah yang menahan tebusan dan dilaporkan telah membunuh sebelas orang awam.

Amukan awal kumpulan bersenjata itu yang telah berikrar taat setia kepada kumpulan pelampau Islamic State (IS), di seluruh bandar majoriti Muslim Marawi pada Selasa memaksa Presiden Rodrigo Duterte melaksanakan undang-undang tentera di seluruh wilayah selatan yang meliputi sepertiga Filipina.

Pihak berkuasa berkata, usaha menamatkan krisis amat sukar kerana meskipun kumpulan itu cuma tinggal 30 hingga 40 orang, mereka bergerak pantas melalui rumah, memasang bom di jalanan dan menahan tebusan.

Pertempuran bersenjata sengit kedengaran sepanjang hari, menurut wartawan AFP di tempat kejadian, dan tentera mengakui telah menggugurkan bom ke atas kawasan kejiranan berpenduduk.

“Kami menggunakan serangan udara terperinci,” kata jurucakap tentera tempatan Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera kepada wartawan di Marawi sebelum kepulan asal hitam kelihatan dari kawasan yang dibom dekat bangunan kerajaan wilayah.

Kebanyakan daripada 200,000 penduduk Marawi telah melarikan diri dari bandar tersebut yang terletak kira-kira 800 kilometer selatan Manila, namun Herrera berkata penduduk yang masih berada di situ telah diberi amaran agar keluar dari kawasan pertempuran dan pengeboman.

“Kami meminta orang kami di Marawi untuk pergi ke tempat yang selamat dan tidak keluar dari bangunan,” katanya.

Lima askar, dua anggota polis dan 13 militan telah terbunuh sejak tiga hari lalu, menurut pihak berkuasa.

Herrera berkata, dua orang awam turut maut di dalam sebuah hospital yang diduduki penyerang bersenjata itu pada Selasa lalu.

Tentera turut menyiasat laporan pembunuhan sembilan orang di sebuah pos pemeriksaan yang didapati telah diwujudkan militan.

Rangkaian televisyen tempatan GMA menunjukkan imej sembilan mayat dengan kesan tembakan di seluruh badan terbaring di padang dengan tangan terikat.

Duterte berkata kelmarin salah seorang anggota polis yang dibunuh terperangkap di pos pemeriksaan militan sebelum dipenggal. — AFP

Advertisement