Anda di sini

Dua pengebom nekad gegar Jakarta

Advertisement
 Gambar rakaman Antara Foto menunjukkan mayat bergelimpangan di tempat kejadian di terminal Kampung Melayu, Jawa Timur kelmarin. — Gambar Reuters
TERORIS: Gambar rakaman Antara Foto menunjukkan mayat bergelimpangan di tempat kejadian di terminal Kampung Melayu, Jawa Timur kelmarin. — Gambar Reuters

JAKARTA: Skuad elit antiteroris Indonesia semalam menyiasat serangan bom nekad berhampiran sebuah stesen bas sibuk di Jakarta yang mengorbankan tiga anggota polis, serangan terbaharu di negara majoriti Islam itu ketika ia berdepan peningkatan komplot militan.

Presiden Joko Widodo merayu agar semua pihak bertenang selepas dua pengebom nekad mencetuskan pertumpahan darah di luar terminal tersebut lewat kelmarin, menyaksikan asap hitam berkepul tebal di udara dan orang ramai panik lari bertempiaran.

Enam lagi pegawai polis dan lima orang awam cedera dalam serangan itu yang menyaksikan cebisan tubuh badan dan serpihan kaca bertaburan di atas jalan di luar terminal Kampung Melayu dalam daerah kelas buruh.

Kedua-dua pengebom turut maut dalam serangan itu yang belum diakui mana-mana kumpulan tetapi pihak berkuasa mengesyaki rangkaian militan tempatan yang menyokong kumpulan pelampau Islamic State (IS).

Dalam ucapan di televisyen semalam, Widodo berkata, beliau telah mengarahkan siasatan rapi dan menggesa semua agar bertenang dan tetap bersatu padu.

“Saya menyampaikan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka, khususnya anggota polis yang terbunuh ketika bertugas,” tambahnya.

Siasatan utama diserahkan awal semalam kepada skuad elit Densus 88 yang menerajui penjejakan dan pembunuhan antara militan paling dikehendaki Indonesia.

Polis percaya mereka disasari dalam serangan itu kerana menjaga keselamatan ketika perarakan berhampiran terminal itu yang kerap dikunjungi penduduk tempatan tetapi bukan orang asing.

Pasukan keselamatan sudah menjadi sasaran utama sejak beberapa tahun lalu bagi puak militan Indonesia, yang umumnya sudah mengalih perhatian mereka daripada orang Barat.

Jurucakap polis negara Setyo Wasisto enggan mengulas tentang kumpulan yang mungkin disyaki bertanggungjawab tetapi percaya sel teroris mungkin tertarik untuk melancarkan serangan susulan serangan di Britain dan Filipina baru-baru ini.

Wasisto mengesahkan bom yang digunakan diperbuat daripada periuk tekanan dan menggambarkan bagaimana bom pertama meledak jam 9 malam waktu tempatan di kawasan di mana para pegawai polis sedang bertugas, disusuli pengebom kedua kira-kira 10 meter dari lokasi pertama.

Media tempatan menyatakan acara yang akan dikawal polis itu adalah perarakan jamung menjelang Ramadan yang bermula Sabtu ini. 

Bom periuk tekanan turut digunakan dalam serangan di kota Bandung pada Februari lalu oleh seorang anggota kumpulan militan tempatan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), yang dipersalahkan atas beberapa serangan baru-baru ini.

Terminal Kampung Melayu merupakan hab tempatan yang menempatkan bas mini dan bas.

Indonesia sudah lama menghadapi masalah dengan kegiatan militan Islam dan mengalami siri serangan sejak 15 tahun yang lalu, termasuk serangan bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya pelancong asing.

Operasi berterusan melemahkan rangkaian paling berbahaya tetapi kemunculan IS ternyata satu tarikan yang kuat bagi kebangkitan baharu radikal.

Ratusan pengikut radikal dari negara Asia Tenggara itu sudah berpusu-pusu untuk menentang IS, yang mencetuskan kebimbangan bahawa kumpulan pelampau yang lemah mungkin mendapat nafas baharu.

Serangan nekad dan senjata di ibu negara Jakarta mengorbankan empat penyerang dan empat orang awam Januari tahun lepas, serangan pertama diakui dilakukan IS di Asia Tenggara.

Sejak itu negara tersebut sudah mengalami beberapa serangan peringkat rendah, biasanya diakui dilakukan oleh kumpulan yang menyokong IS, tetapi kebanyakannya menyebabkan kerosakan yang kecil sahaja. — AFP

Advertisement