Anda di sini

Dasar pertanian negeri Sabah ketiga 2017-2026 dilancar

Advertisement

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin semalam melancarkan Dasar Pertanian Negeri Sabah (DPNS) Ketiga bagi tempoh 2017-2026, di Wisma Pertanian Sabah, di sini.

Dasar yang dikuatkuasakan mulai tahun ini itu digubal berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, selain pembangunan dan pencapaian sektor pertanian menerusi DPNS Pertama dan Kedua.

Berucap pada majlis itu, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, DPNS Ketiga tampil dalam tiga jilid merangkumi tinjauan prestasi sektor pertanian Sabah, dokumen dasar dan rancangan strategik selain terdapat sebuah ringkasan eksekutif yang diterbitkan sebagai rumusan kepada ketiga-tiga jilid berkenaan.

Beliau berkata selaras dengan Wawasan 2020 dan program transformasi kerajaan, dasar berkenaan turut menggariskan tiga matlamat strategik iaitu meningkatkan tahap keselamatan makanan serta pendapatan para petani dan pengeluar, memperkukuh pertumbuhan produktiviti dan daya saing industri pertanian serta mengekalkan kemampanan pertanian di Sabah.

“Ini bagi meningkatkan pencapaian kadar pertumbuhan pengeluaran sekurang-kurangnnya tiga peratus Tahap Sara Diri (SSL) setiap tahun bagi tanaman makanan, ternakan dan perikanan; meningkatkan pendapatan purata petani atau pengeluar kepada RM4,000 sebulan bagi setiap isi rumah,” katanya.

Di samping itu, Yahya berkata, matlamat strategik dalam DPNS Ketiga itu juga bertujuan mengekalkan sumber ekonomi jangka panjang dan kemapanan alam sekitar tanaman makanan, perikanan, ternakan, industri dan tanaman ekonomi lain termasuk agropelancongan.

Yahya berkata beberapa pendekatan turut digariskan sebagai langkah menangani isu serta cabaran dalam sektor pertanian merangkumi keperluan infrastruktur dan kemudahan asas di kesemua kawasan pengeluaran makanan dan tanaman utama; tahap penggunaan teknologi dan mekanisasi lebih tinggi; peningkatan subsidi dan bantuan ladang; serta pengukuhan penguaktuasaan ke atas tadbir urus.

“Sektor pertanian di Sabah juga akan menggunakan Strategi Lautan Biru yang bercirikan pendekatan berimpak tinggi, pelaksanaan pesat, kos rendah dan kemampanan,” katanya.

Beliau berkata satu surat pekeliling akan diedarkan kepada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan berhubung penggunaan DPNS Ketiga, dan berharap pihak terlibat memberi kerjasama dengan merujuk dasar tersebut dalam penggubalan peraturan atau pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti berkaitan bagi membolehkan sektor pertanian Sabah berkembang pesat.

“Saya yakin penerapan DPNS 3 dalam perancangan serta pembangunan sektor pertanian di Sabah sudah pastinya dapat menjamin peningkatan pengeluaran dan kesejahteraan para petani, penternak, nelayan serta usahawan tani,” katanya. — Bernama

Advertisement