Anda di sini

Dadah masuk sekolah

Advertisement
 Dadah jenis syabu yang dirampas daripada salah seorang pelajar yang ditahan.
SYABU: Dadah jenis syabu yang dirampas daripada salah seorang pelajar yang ditahan.
 Dadah yang dirampas daripada dua lelaki dalam satu serbuan di sebuah premis di Tebedu pada hari yang sama.
BARANG KES: Dadah yang dirampas daripada dua lelaki dalam satu serbuan di sebuah premis di Tebedu pada hari yang sama.

KUCHING: Kebimbangan dadah menyusup masuk ke dalam sekolah ternyata berasas apabila enam pelajar lelaki dipercayai terlibat salah guna dadah diserah kepada polis, kelmarin.

Terdahulu, dalam kes dipercayai pertama seumpamanya di Sarawak, seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Tebedu melakukan ‘spot check’ ke atas beberapa pelajar di sekolahnya sekitar jam 9 pagi, Rabu lepas.

Seorang daripada mereka kemudiannya didapati memiliki bungkusan lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.

“Guru disiplin terbabit semasa kejadian melakukan pemeriksaan mengejut ke atas beberapa pelajar di dalam sekolah itu dan seorang daripada pelajar berusia 16 tahun didapati memiliki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.66 gram.

“Penemuan tersebut membawa kepada penangkapan lima lagi pelajar termasuk seorang pelajar tingkatan dua kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Mereka kemudian diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Tebedu sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Serian,” kata sumber.

 Selain itu, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas enam pelajar terbabit yang berusia 14 hingga 17 tahun juga disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Superintenden Sahar Abdul Latif semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.

“Hanya seorang pelajar yang didapati memiliki dadah direman selama tiga hari, manakala lima lagi pelajar dibebaskan (namun masih dalam pemerhatian polis) selepas rakaman percakapan diambil,” katanya.

Sementara itu, BSJN IPD Serian juga berjaya menahan dua lelaki berusia 31 dan 33 tahun dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Tebedu sekitar jam 12 tengah hari pada hari yang sama.

“Pemeriksaan dibuat ke atas satu bekas kotak menyimpan rokok yang mengandungi tiga peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 12.5 gram.

“Turut dirampas ialah satu bekas kotak menyimpan rokok mengandungi dua peket plastik dan lapan tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis syabu,” kata sumber yang turut memberitahu kedua-dua suspek disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. 

  • oleh
  • Advertisement