Anda di sini

CIDB keluar 10 notis atas pelbagai kesalahan di tapak pembinaan

Advertisement
 Anggota penguat kuasa CIDB menjalankan pemeriksaan ke atas pekerja tapak binaan di Inanam.
UNTUK KESELAMATAN: Anggota penguat kuasa CIDB menjalankan pemeriksaan ke atas pekerja tapak binaan di Inanam.

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 notis termasuk lima kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ketika Program Penguatkuasaan Bersepadu antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sabah bersama agensi penguatkuasaan lain di sebuah tapak binaan di Inanam, di sini, kelmarin.

Daripada jumlah itu, satu notis arahan memberhentikan operasi dengan serta-merta diberikan kepada sebuah syarikat subkontraktor yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta 520 (Pindaan 2011) CIDB.

Pengarah CIDB Sabah Rosmen Ag Hassan berkata notis pemberhentian kerja itu dikeluarkan mengikut Subseksyen 25 (1) yang mana, jika gagal mematuhi arahan boleh membawa kepada hukuman denda tidak kurang RM10,000 tidak lebih daripada RM50,000.

Subkontraktor itu didapati menjalankan operasi dengan lesen yang tamat tempoh pada 1 April 2017.

“Pemeriksaan di tapak pembinaan mendapati sebanyak 60 pekerja belum diakreditasi oleh CIDB. Daripada jumlah itu, seramai 11 orang berdaftar sebagai personel binaan manakala, 49 lagi belum berdaftar,” katanya ketika ditemui selepas menjalankan pemeriksaan di tapak pembinaan berkenaan.

Agensi penguatkuasaan lain yang terlibat adalah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK); Jabatan Imigresen Malaysia; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah; Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS); dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Rosmen berkata di bawah bidang kuasa CIDB, sejumlah tiga notis dikeluarkan kepada kontraktor dan subkontraktor yang diberikan notis pemberhentian operasi itu.

Di bawah bidang kuasa JKNS pula, sebanyak dua notis dikeluarkan manakala, dua notis lagi masing-masing dikeluarkan oleh JKKP dan JTK. Satu notis dikeluarkan oleh DBKK.

Berdasarkan pemeriksaan itu, tiada kesalahan direkodkan di bawah Jabatan Imigresen.

Menurutnya seramai 51 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi penguatkuaan turut serta dalam operasi yang bertujuan untuk mendidik penggiat industri pembinaan supaya mematuhi keperluan perundangan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tapak-tapak pembinaan terutama di bawah Akta 520 (pindaan 2011) CIDB.

Katanya pemeriksaan sebegini juga bertujuan memastikan semua kerja pembinaan mencapai tahap kualiti, keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan.

“Kita berharap agar penggiat industri pembinaan dapat mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta 520 (pindaan 2011) CIDB. Pihak CIDB juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ada pihak yang didapati gagal mematuhi akta berkenaan.

“Kita juga berharap agar pemain industri boleh melaksanakan pematuhan akta secara pengawalseliaan sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata penguatkuasaan bersepadu sebegitu akan turut dilaksanakan di daerah lain di pantai timur Sabah secara berperingkat.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu Agis Moding memberitahu bahawa notis kompaun yang dikeluarkan di bawah JKNS adalah mengikut Seksyen 13 (1) Akta Pemusnahan Seranggan Pembawa Penyakit 1975 JKNS.

Katanya kompaun itu dikeluarkan berikutan terdapat kontena yang didapati menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Manakala, JKKP pula mengeluarkan notis pembaikan yang memerlukan kontraktor melaksanakan kerja pembaikan yang dinyatakan dalam tempoh dua minggu. Kegagalan mematuhi arahan akan menyebabkan kontraktor dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 mengikut Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan.

Untuk kesalahan di bawah bidang kuasa JTK pula, JTK terus mengeluarkan kertas pendakwaan kepada majikan atas kesalahan gagal menyediakan insurans kepada pekerja serta gagal menyediakan lesen kepada pekerja. Kedua-dua kesalahan itu boleh membawa hukuman denda maksimum RM10,000.

Advertisement