Anda di sini

Keputusan kes bunuh Bill Kayong diketahui 6 Jun

Advertisement
Bill Kayong
Bill Kayong

MIRI: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 Jun depan untuk mendengar keputusan kes empat lelaki yang dituduh membunuh dan bersubahat melakukan pembunuhan terhadap Bill Kayong.

Manakala keempat-empat tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Hakim Ravinthran N. Paramaguru turut menetapkan 14 hingga 16 Jun sebagai tarikh untuk keempat-empat tertuduh membela diri sekiranya ada bukti menunjukkan bahawa mereka ada terlibat dalam kes ini.

Terdahulu, selepas mendengar hujah lisan kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah dapati hujah pendakwaan hanya memfokus kepada tertuduh pertama yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Kesejsaan serta tidak menyebut tentang persubahatan tiga tertuduh yang lain.

Dalam kes itu, tertuduh pertama Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pasaraya Emart (Tudan), Jalan Miri-Bintulu.

Manakala tiga yang lain iaitu Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook; Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5, Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjung Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksuwn 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada masa dan ditempat yang sama.

Seramai 28 orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula sejak 7 Mac lalu.

 

  • oleh
  • Advertisement