Anda di sini

APM terus diperkasa

Advertisement
 Uggah diiringi Azmy (kiri) melihat bot Sealegs yang diserahkan kepada APM Sarawak, semalam.
ASET: Uggah diiringi Azmy (kiri) melihat bot Sealegs yang diserahkan kepada APM Sarawak, semalam.

  Sarawak terima lapan lori lima tan, bot Sealegs bantu operasi jika berlaku bencana: Uggah

KUCHING: Sebanyak lapan lori lima tan bernilai RM5.3 juta dan sebuah bot Amphibious Rigid Inflatable 7.1 Sealegs bernilai RM640,000 diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, semalam.

Justeru, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menyempurnakan penyerahan tersebut berkata, dengan adanya perolehan aset tersebut, ia akan dapat membantu operasi sekiranya berlaku bencana khususnya banjir.

Pada masa sama, katanya, ia juga akan meningkatkan lagi kadar keupayaan dan mobiliti APM Sarawak selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan di atas komitmen serta keprihatinan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat Sarawak, khususnya dalam menangani bencana,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan kenderaan operasi dan logistik kepada APM Sarawak di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya APM Mejar Jeneral Datuk Azmy Yahya.

Namun demikian, beliau berharap agar kerajaan persekutuan dapat menambah empat lori lagi kepada APM Sarawak supaya ia dapat ditempatkan di setiap 12 bahagian negeri ini.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata, jawatankuasa akan menumpukan untuk mencegah kebakaran tanah gambut di Miri  pada musim kemarau yang diramalkan pada Mei hingga September tahun ini.

Untuk itu, katanya, beliau akan melawat Kuala Baram, salah satu kawasan yang kerap berlaku kebakaran tanah gambut serta meninjau kolam tiub dan menara peninjau yang sudah siap dibina di situ, iaitu aset untuk memadam dan mengurangkan kebakaran di kawasan tanah gambut.

Kita kena jaga kebakaran tanah gambut terutama di Miri kerana takut ia menjejaskan Negara Brunei Darussalam,” katanya.

Selain itu, Uggah berkata, JPBNS juga telah bersedia dari segi aset untuk menghadapi kemungkinan musim kemarau ini.

Kita sudah menyediakan jentera untuk menghantar bekalan air dan saya yakin ini dapat membantu mengurangkan ketidakselesaan mereka yang terjejas,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement