Anda di sini

Vanidah Imran peroleh baki bayaran kontrak RM265,000

Advertisement

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur semalam memerintahkan syarikat pengeluar kosmetik Ronasutra membayar baki bayaran kontrak sebanyak RM265,000 kepada duta produk Ronasutra yang juga pelakon Vanidah Imran.

Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan baki bayaran kontrak RM265,000 yang dipohon Vanidah, 44, yang turut dikenali sebagai Vee dalam saman terhadap Miliyasutra Industries Sdn Bhd berhubung pelanggaran kontrak.

Bagaimanapun, Roszianayati menolak tuntutan Vanidah selaku plaintif bagi ganti rugi RM500,000 untuk penggunaan imejnya secara salah serta menolak tuntutan bagi ganti rugi am, teladan dan teruk.

Hakim itu juga memerintahkan Miliyasutra Industries selaku defendan membayar kos RM10,950, faedah lima peratus dari tarikh 23 Mei hingga tarikh penyelesaian penuh kepada Vanidah.

Roszianayati dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati Miliyasutra Industries gagal menyediakan sesi merakamkan imej dan TVC (Television Commercial) seperti diperuntukkan dalam perjanjian berjumlah RM490,000 yang ditandatangani pelakon itu dengan syarikat berkenaan bagi tempoh dua tahun bermula September 2012.

“Terdapat keterangan yang menunjukkan pertanyaan daripada wakil kepada pelakon itu yang menunjukkan Vanidah bersedia untuk sesi merakamkan imej dan TVC. Justeru, defendan tidak boleh menafikan bayaran yang telah dipersetujui perlu dibayar kepada Vanidah untuk tempoh dua tahun perjanjian berkenaan,” katanya.

Hakim itu juga menolak tuntutan Vanidah bagi penggunaan gambarnya di luar tempoh kontrak memandangkan beliau gagal membuktikan bahawa syarikat kosmetik dalam talian, Beauty Runcit yang berpangkalan di Singapura mempunyai hubungan terus dengan Miliyasutra Industries.

“Keterangan saksi pertama defendan, Rashidah Rahim yang juga pengendali Beauty Runcit me-nunjukkan bahawa beliau secara persendirian telah menggunakan gambar Vanidah untuk mempromosikan produk syarikat itu melalui laman webnya.

“Vanidah juga gagal membuktikan bahawa Miliyasutra Industries adalah pihak yang telah menggunakan gambarnya atau membenarkan Beauty Runcit menggunakan gambar itu tanpa kebenaran pelakon tersebut,” kata Roszianayati.

Sementara itu, mahkamah menolak tuntutan balas Miliyasutra Industries terhadap saman Vanidah dengan kos RM10,000 selepas mendapati syarikat tersebut gagal membuktikan bahawa produk-produk seperti Loreal adalah termasuk dalam produk seperti yang terkandung di dalam perjanjian tersebut.

“Produk Loreal adalah produk berkaitan rambut yang sama sekali berlainan dengan produk kepunyaan Miliyasutra Industries dan ia dipromosikan oleh Vanidah sebelum beliau memasuki perjanjian dengan syarikat itu,” kata Roszianayati.

Katanya, mahkamah juga mendapati produk lain yang diadukan oleh Miliyasutra Industries dipromosikan melalui Instagram Vanidah adalah produk yang tidak termasuk dalam perjanjian berkenaan dan mahkamah juga menerima keterangan Vanidah bahawa produk tersebut dipromosikan untuk memberi sokongan kepada rakan tanpa dikenakan apa-apa bayaran.

Vanidah memfailkan saman pada 28 Okt 2016 antara lainnya menuntut ganti rugi RM765,000 atas dakwaan syarikat itu telah melanggar kontrak dan menggunakan imejnya secara salah.

Menurut pernyataan tuntutan, Vanidah mendakwa beliau telah menandatangani kontrak bernilai RM490,000 dengan Miliyasutra sekitar September 2012 bagi tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, pelakon utama filem ‘The Red Kebaya’ itu telah melunaskan tanggungjawabnya tanpa sebarang aduan daripada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, Vanidah mendakwa sehingga kontrak tersebut tamat pada September 2014, baki bayaran kontrak sebanyak RM265,000 masih belum diterima dan pada 6 April 2015, defendan mencadangkan bayaran sebanyak RM60,500 kepada pelakon itu sebagai penyelesaian penuh.

Pelakon itu mendakwa sekitar Julai 2016, beliau mendapati imejnya telah disalah guna oleh defendan dalam penjualan beberapa barang kosmetik jenama Ronasutra sedangkan pada ketika itu, kontraknya telah luput dan penggunaan gambarnya masih berlanjutan sehingga sekarang.

Oleh itu, Vanidah menuntut baki kontrak sebanyak RM265,000 dan RM500,000 sebagai ganti rugi bagi penggunaan imejnya tanpa kebenaran selain ganti rugi am, teladan dan teruk serta lain-lain kos dan relif yang sesuai. — Bernama

Advertisement