Anda di sini

Tiga dihukum penjara, denda kerana beri rasuah

Advertisement

KUCHING: Dua pengendali kedai makan dan pengusaha pusat cuci kereta dijatuhi hukuman antara tujuh dan 10 hari penjara serta denda antara RM10,000 dan RM27,000 di Mahkamah Sesyen di sini kerana memberi rasuah.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong mengarahkan mereka dipenjara dua bulan lagi jika tidak dapat membayar denda itu.

Semua suapan itu telah ditawarkan kepada pegawai imigresen untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas pekerja asing mereka yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1953/63.

Seorang pengusaha kedai makan berusia 25 tahun, Lee Wei Luk yang mengaku bersalah menawarkan rasuah RM2,000 dijatuhi hukuman tujuh hari penjara dan didenda RM10,000.

Dia melakukan kesalahan itu pada kira-kira jam 5.50 petang, 15 November tahun lalu di Seventeen Food Corner di Siburan.

Pang Kong Joo, 37, seorang pemilik kedai kopi pula dijatuhi hukuman lapan hari penjara dan denda RM10,000 kerana menawarkan suapan sebanyak RM2,000.

Kesalahan itu telah dilakukan tahun lepas di sebuah kedai di Batu 13, Jalan Kuching-Serian dan dia diwakili peguam Lim Lian Kee.

Sementara itu, Ng Hong Lee, seorang pengusaha pusat cuci kereta didenda RM27,000 dan dijatuhi hukuman penjara 10 hari kerana melakukan kesalahan yang sama dengan nilai suapan RM5,400.

Dia melakukan kesalahan itu pada 11 November tahun lepas kira-kira jam 6 petang di sebuah kedai di Jalan Tai Shin Jar di sini.

Hakim memerintahkan semua hukuman itu berkuat kuasa serta-merta.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dibaca bersama Seksyen 28 (1) (a) akta yang sama.

Advertisement