Anda di sini

Suspek bunuh ditangkap

Advertisement
 Anggota polis berjaya menahan dua suspek sekitar jam 11 pagi semalam.
TANGKAP: Anggota polis berjaya menahan dua suspek sekitar jam 11 pagi semalam.

KUCHING: Seorang daripada suspek kes pembunuhan di Jalan Abang Abdul Rahim di sini, dikatakan mengaku merodok mangsa beberapa kali menggunakan kerambit sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3 pagi Isnin lepas.

Menurut sumber, suspek dikenali sebagai Mamat yang merupakan suspek utama kes berkenaan berjaya ditahan di Jalan Merdang 1 selepas keretanya berjaya dipintas anggota D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sekitar jam 6.50 pagi semalam. 

Difahamkan, semasa ditahan suspek berusia 28 tahun itu dikatakan bersama isterinya dan kedua-dua mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal ke atas lelaki yang merupakan suspek utama dalam kes tersebut dikatakan mengaku menggunakan kerambit merodok mangsa beberapa kali dalam kejadian tersebut sehingga menyebabkan kecederaan parah.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut polis dan usaha mengesan senjata (kerambit) yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut masih dijalankan," kata sumber.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai dalam kenyataannya di sini, mengesahkan pihaknya berjaya menangkap tujuh suspek kes berkenaan termasuk suspek utama dan dua wanita berusia lingkungan 25 hingga 68 tahun.

"Semua yang ditahan merupakan warga tempatan iaitu empat lelaki berusia 25 hingga 68 tahun dan dua wanita berusia 27 dan 37 tahun.

"Empat suspek berjaya ditangkap sejak semalam (kelmarin) sehingga awal pagi tadi (semalam) di Jalan Stakan serta Jalan Merdang 1 dan dua lagi suspek lelaki baharu ditangkap pada jam 11 pagi(semalam).

"Seorang lagi suspek berjaya ditahan oleh pasukan D9 JSJ IPD Kuching di Bandar Baharu Samariang sekitar jam 4.30 petang tadi (semalam)," katanya.

Empat daripada suspek yang ditahan telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga 6 Jun depan untuk siasatan lanjut.

Pada Isnin lepas, seorang lelaki dikenali sebagai Shamsul Hipni,41 dari Bandar Baharu Samariang ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan badan selepas terlibat dengan pergaduhan di sebuah pusat hiburan sekitar jam 3.05 pagi.

Kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 Anggota JSJ IPD Kuching berjaya menahan seorang lagi suspek di Bandar Baharu Samariang.
SUSPEK: Anggota JSJ IPD Kuching berjaya menahan seorang lagi suspek di Bandar Baharu Samariang.
  • oleh
  • Advertisement