Anda di sini

Pesara TUDM didakwa minta rasuah RM1.2 juta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah daripada seorang pemilik syarikat alat ganti pesawat, enam tahun lepas.

Leftenan Kolonel (B) Kamal Baharin Nali, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah

Kamal Baharin, yang bertugas di Jabatan Arah Perundangan, Markas Tentera Udara didakwa telah secara rasuah meminta satu suapan sebanyak RM1.2 juta daripada Ab Rahim Ghalim, sebagai dorongan untuk membantu Ab Rahim mendapatkan bayaran tertunggak bernilai RM14.5 juta bagi 52 invois ARG Tech Sdn Bhd untuk kerja-kerja kontrak.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Café Hotel Marriot Putrajaya, IOI Resort City di Putrajaya  pada Sept 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kelmarin, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Kamal Baharin mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memperoleh rasuah sebanyak RM600,000 daripada Ab Rahim berhubung perkara sama, enam tahun lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun peguam tertuduh, Datuk Jagjit Singh, memohon jaminan RM10,000 dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.

“Kamal Baharin telah bersara tahun lepas setelah berkhidmat selama 24 tahun dengan TUDM dan kini menyara isteri dan tiga orang anak yang masih bersekolah,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Julai  ini untuk sebutan semula kes.

Farah Yasmin juga memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memohon supaya kes di Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana kebanyakan saksi berada di sini. — Bernama

Advertisement