Anda di sini

MRT jajaran SSP dijangka siap 18 peratus menjelang disember

Advertisement
 Amiruddin bercakap dengan media di Sungai Buloh semalam. — Gambar Benama
BERTEMU MEDIA: Amiruddin bercakap dengan media di Sungai Buloh semalam. — Gambar Benama

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corpora­tion Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan penyiapan sebanyak 15 hingga 18 peratus ke atas Jajaran Sungai Buloh- Serdang-Putrajaya (SSP) menjelang akhir 2017. Pengarah Projek MRT Corp Jajaran SSP, Datuk Amiruddin Ma’aris, berkata sekarang ini, kemajuan kes­eluruhan MRT Jajaran SSP adalah pada 7. 5 peratus dan pembinaannya mengikut jadual.

Katanya, MRT Corp telah menganugerahkan 31 pakej kerja bernilai sehingga RM30 bilion membabitkan MRT Jajaran SSP di Lembah Klang, manakala baki sebanyak 38 pakej yang bernilai 2 billion, dijangka akan dikeluarkan dalam tahun ini dan pada 2018.

“Memandangkan kesemua pakej kejuruteraan sivil dan sistem telah dianugerahkan, kerja-kerja bagi penjajaran bertingkat di utara dan sela­tan, kawasan bawah tanah dan depo telah bermula.

“Jajaran SSP kini bergerak mengikut perancangan,” ka­tanya kepada taklimat media mengenai kemajuan MRT Jajaran SSP di sini semalam.

Amiruddin berkata bagi kerja-kerja bawah tanah, termasuk penempatan semula kemudahan utiliti, penggal­ian untuk kawasan stesen dan syaf, pengubahsuaian mesin pengorek terowong, termasuk pengeluaran, berjalan lancar pada tahap 8.7 peratus.

Sejumlah 12 TBM akan digunakan untuk menggali terowong bagi Jajaran SSP yang memiliki kepanjangan bawah tanah sejauh 13.5 kil­ometer (km).

Beliau ketika bercakap mengenai pengambilan tanah, memberitahu MRT mem­belanjakan kira-kira RM2.2 bilion bagi dua pertiga lot-lot yang diperlukan untuk pem­bangunan Jajaran SSP.

Berdasarkan kemajuan seh­ingga tarikh terkini, Amirud­din adalah positif bahawa fasa pertama MRT Jajaran SSP antara Kwasa Damansara sehingga Kampung Batu akan beroperasi menjelang Julai 2021, manakala secara keseluruhan, ia akan siap sepenuhnya pada Julai 2022.

Jajaran SSP adalah aliran perkhidmatan MRT kedua yang merangkumi kawasan seluas 52.2 km yang men­ghubungkan sebanyak 35 stesen. — Bernama

Advertisement