Anda di sini

Literasi digital penjawat awam sektor pertanian perlu dipertingkatkan

Advertisement

KOTA KINABALU: Pen-jawat awam terutamanya nadi penggerak sektor pertanian negeri perlu meningkatkan literasi digital ke arah mentransformasi sistem penyampaian dan menginovasi pelaksanaan perkhidmatan pertanian.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin Yahya berkata, era digital ketika ini menuntut penjawat awam sektor itu meningkatkan kebolehahan serta kemampuan menggunakan kemudahan teknologi dan alat telekomunikasi bagi memudahkan tugas menganalisis dan mengintegrasi maklumat.

“Contohnya, penggunaan drone dalam bidang pertanian bagi menjalankan penyelidikan dan pemantauan selain aplikasi digital lain yang membolehkan pengumpulan dan penyaluran maklumat dilakukan dengan lebih pantas, tepat serta interaktif.

“Laporan pembangunan pertanian akan lebih mudah dihasilkan, pengagihan sumber dapat dilakukan secara sistematik dan perancangan serta pengurusan program pertanian dapat diurus dengan cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) 2017, di sini semalam.

Bertema ‘Meningkatkan Literasi Digital Dalam Perkhidmatan Pertanian’, seminar itu dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dengan kerjasama jabatan dan agensi di bawahnya.

Yahya yang juga mahu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri mahu ketua jabatan dan agensi kementerian itu menggalakkan penjawat awam menggunakan sepenuhnya aplikasi sedia ada ke arah menyokong perkhidmatan digital disediakan kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Komputer Sabah.

Beliau berkata langkah itu mampu mendorong pelaksanaan penambahbaikan aplikasi sama ada untuk kegunaan dalaman jabatan atau rakyat sekali gus memperkukuh perkembangan teknologi digital dalam perkhidmatan pertanian.

Mengenai seminar itu, Yahya berharap ia mampu menjadi saluran interaktif dalam membincangkan permasalahan dan langkah penyelesaian yang perlu diambil bagi memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan awam secara bersepadu melalui ICT. — Bernama

Advertisement