Anda di sini

Konsert berakhir tragedi

Advertisement
 Imej pegun video menunjukkan suasana sejurus letupan kedengaran di Manchester Arena, utara England kelmarin. — Gambar Reuters
KECOH: Imej pegun video menunjukkan suasana sejurus letupan kedengaran di Manchester Arena, utara England kelmarin. — Gambar Reuters

MANCHESTER: Sekurang-kurangnya 22 orang termasuk beberapa kanak-kanak maut manakala 59 cedera apabila seorang pengebom nekad melancarkan serangan ketika ribuan penonton beredar selesai konsert penyanyi Amerika Syarikat (AS) Ariana Grande di bandar England Manchester kelmarin.

Perdana Menteri Theresa May menyeru mesyuarat tergempar dengan ketua-ketua perisikan dalam serangan militan paling berdarah di Britain sejak empat penduduk Muslim tempatan membunuh 52 orang dalam serangan bom nekad dalam sistem pengangkutan London pada Julai 2005.

Saksi mengimbau kengerian letupan yang mencetuskan rempuhan sejurus konserta tamat di Manchester Arena, stadium terbesar di Eropah.

“Kami berlari dan orang ramai menjerit, berasak-asak di tangga untuk keluar dan ada yang terjatuh.

“Gadis-gadis menangis dan kami melihat beberapa wanita dirawat paramedik kerana luka teruk di kaki.

“Suasana kecoh sekali,” kata Sebastian Diaz, 19.

“Boleh dikatakan seminit selepas konsert tamat, lampu dinyalakan dan bom pun meletup.”

Polis berkata, penyerang meletupkan bahan letupan sejurus selepas jam 10.33 malam di stadium itu yang mampu menampung 21,000 orang dan kanak-kanak antara yang terbunuh.

“Kami percaya, pada peringkat ini, serangan malam tadi dilancarkan oleh seorang lelaki.

“Keutamaan adalah menentukan sama ada dia bertindak sendirian atau sebahagian daripada rangkaian,” kata Ketua Konstabel Manchester Ian Hopkins kepada wartawan, namun enggan mengulas tentang identiti pengebom.

Datuk Bandar London Sadiq Khan berkata, polis telah dikerahkan ke jalanan ibu negara setelah stesen kereta kuda Victoria ditutup seketika susulan penemuan satu bungkusan yang mencurigakan.

Sumber berkata, bahan letupan pengebom padat dengan logam dan bolt manakala sekurang-kurangnya 19 mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal.

Video dalam Twitter menunjukkan para penonton kebanyakannya remaja, menjerit dan melarikan diri dari tempat kejadian.

Puluhan ibu bapa bergelut mencari anak-anak mereka, memaparkan gambar dan merayu bagi maklumat dalam media sosial.

“Kami dalam perjalanan keluar dan ketika berada dekat pintu, satu letupan kuat kedengaran dan semua orang menjerit.

“Letupan itu memang besar, dada saya berasa kesannya,” kata salah seorang penonton Catherine Macfarlane.

Grande, 23, yang mana konsertnya dihadiri kebanyakan gadis dan wanita muda, mengulas dalam Twitter: “Patah hati. Dari dasar hati saya, saya benar-benar memohon maaf. Saya tidak terkata.”

Presiden AS Donald Trump menggambarkan serangan tersebut sebagai kerja orang jahat manakala Canselor Jerman Angela Merkel menegaskan ia hanya mengukuhkan lagi tekad untuk bekerjasama dengan rakan-rakan di Britain bagi membanteras pihak yang merancang dan melancarkan serangan tidak berperikemanusiaan sedemikian.

May yang berdepan pilihan raya pada 8 Jun bersama Jeremy Corbyn, ketua pembangkang Parti Buruh, bersetuju menggantung kempen.

Setakat ini tiada pihak segera mengaku bertanggungjawab namun pegawai AS menyamakannya dengan serangan seragam pada November 2015 oleh militan pelampau ke atas dewan konsert Bataclan dan lokasi lain di Paris, Perancis yang meragut 130 nyawa.

“Jelas sekali serangan ini mempunyai petanda perbuatan Daesh (Islamic State),” kata bekas ejen perisikan Perancis Claude Moniquet yang kini menjadi konsultan keselamatan di Brussels.

“Ariana Grande seorang penyanyi muda yang menarik peminat yang amat muda, golongan remaja, justeru amat jelas serangan ini mahu melakukan sebanyak mungkin kerosakan dan mengejutkan sepenuhnya masyarakat British,” katanya.

Pada 2015, pelajar Pakistan Abid Naseer disabitkan di mahkamah AS kerana berkonspirasi dengan Al-Qaeda untuk meletupkan pusat beli-belah Arndale di tengah Manchester pada April 2009.

Ibu bapa dan rakan-rakan yang terdesak menggunakan media sosial untuk mencari orang tersayang yang menyaksikan konsert tersebut, tatkala mangsa cedera dirawat di enam hospital di seluruh Manchester.

“Semua orang tolong sebarkan, adik saya Emma berada di konsert Ari malam tadi di Manchester dan dia tidak menjawab panggilan telefon,” menurut satu mesej bersama gambar seorang gadis berambut perang dihiasi bunga.

Paula Robinson, 48, dari West Dalton kira-kira 40 batu timur Manchester, mengakui berada di stesen kereta api dekat stadium bersama suaminya apabila berasa letupan itu dan melihat ratusan gadis remaja bertempiaran lari keluar dari stadium sambil menjerit.

“Kami berlari keluar beberapa saat selepas letupan dan membantu remaja-remaja itu,” kata Robinson yang kemudian membawa puluhan gadis ke hotel berhampiran Holiday Inn Express.

Beliau memaparkan dalam Twitter nombor telefonnya untuk memaklumkan ibu bapa yang bimbang agar mencari anak-anak mereka di hotel tersebut. — Reuters

Advertisement