Anda di sini

Dua lelaki gay disebat 83 kali

Advertisement
 Salah seorang pesalah dalam kes seks gay disebat dengan rotan di khalayak ramai di pekarangan masjid di Banda Aceh, Aceh semalam. — Gambar Reuters
HUKUMAN DUNIA: Salah seorang pesalah dalam kes seks gay disebat dengan rotan di khalayak ramai di pekarangan masjid di Banda Aceh, Aceh semalam. — Gambar Reuters

BANDA ACEH: Polis agama di Indonesia menyebat dua lelaki kerana seks gay semalam, dengan algoko bertutup kepala melakukan 83 sebatan ke atas mereka di hadapan orang ramai  yang menyaksikan pelaksanaan hukuman yang diarahkan oleh mahkamah syariah.

Sorakan dan tepukan gemuruh kedengaran kalangan orang ramai yang berhimpun di pekarangan sebuah masjid di kota Banda Aceh, ibu kota wilayah konservatif Aceh, apabila lelaki-lelaki bertopeng bergilir-gilir untuk menyebat pasangan itu di atas pentas.

Kedua-dua pesalah berdiri dengan senyap dengan kepala tertunduk, manakala penonton mengganggu dan mencemuh mereka.

Hukuman itu, yang dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia, merupakan pelaksanaan pertama bagi undang-undang anti-homoseksualiti yang diperkenalkan di wilayah itu pada 2014.

Aceh sudah lama memiliki reputasi sebagai wilayah paling konservatif di Indonesia.

Ia merupakan satu-satunya wilayah yang menjenayahkan hubungan sejantina dan menggunakan hukum Islam sebagai kanun undang-undangnya selain kanun jenayah kebangsaan.

Seramai 1,000 orang, ramai yuang membuat rakaman dengan telefon pintar melihat kedua-dua lelaki menerima 82 sebatan setiap seorang.

Ramai lagi menonton hukuman itu dilaksanakan dalam video strim langsung.

Ada di kalangan hadirin yang membawa sepanjuk menolak kewujudan masyarakat lesbian, gay, dwiseksual dan transjantina (LGBT) di Aceh.

“Saya harap kes homoseksualiti sedemikian tidak ada lagi, ia mengejutkan,” kata Eni Tri Retnaningsih, 20, seorang pelajar yang memberitahu dia pernah menyaksikan orang lain disebat sebelum ini bagi kesalahan lain seperti perzinaan.

Sekurang-kurangnya lapan lelaki dan wanita lain disebat bagi kesalahan lain sebelum hukuman kedua-dua lelaki yang didapati bersalah menjalin hubungan seks gay.

Polis memisahkan lelaki dan wanita di kalangan penonton ketika prosiding bermula, dan 100 lelaki yang memakai hud dan jubah coklat menyediakan segulung rotan sebagai gantian bagi rotan lain yang patah ketika melakukan sebatan.

Sebatan dilakukan pada belakang lelaki dan wanita yang berpakaian, ada yang menjerit kesakitan dengan setiap sebatan.

Dalam beberapa kes, sebatan dihentikan seketika jika pesalah menunjukkan mereka terlalu sakit.

Selepas sebatan tamat, kedua-dua lelaki berkenaan dibantu turun dari pentas.

Mereka bebas untuk pulang ke pangkuan keluarga mereka, kata pihak berkuasa. — Reuters

Advertisement