Anda di sini

Calarkan kereta milik bekas suami, ibu tunggal didenda

Advertisement

MELAKA: Gara-gara mengamuk dan mencalarkan cat kereta milik bekas suami menggunakan batu bata pada Januari lepas, seorang ibu tunggal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini. 

Majistret Mohd Firdaus Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Salmila Saludin, 38, selepas wanita berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda. 

Ibu kepada tiga anak itu membayar denda tersebut. 

Salmila dijatuhi hukuman denda RM1,500 kerana melakukan khianat setelah mengamuk dan mencalarkan cat kereta milik Nordin Mohd Ali, 48, menggunakan batu bata di No. 6, LP 12 Limbongan Permai di sini, kira-kira 6.45 petang pada 27 Jan lepas. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh mengamuk selepas berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum tertuduh mencalarkan cat kereta milik bekas suaminya itu. 

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, Salmila memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia melakukan kesalahan itu kerana bekas suami menghalangnya untuk bertemu dengan anak-anak. 

"Saya tidak mahu hukuman penjara kerana saya ingin menyambut puasa bersama tiga anak saya yang berusia sembilan, 12 dan 13 tahun. Saya tidak bekerja," katanya sambil menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh. 

Pegawai Pendakwa ASP Nora Yaacob memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh. - BERNAMA


 

Advertisement