Anda di sini

Alice, Zaidi dinobat Kumang dan Keling Gawai Dayak Sibu 2017

 Tiga pemenang teratas Kumang dan Keling Gawai Dayak Sibu pada Majlis Pra Gawai Dayak Sibu 2017.
JELITA DAN TAMPAN: Tiga pemenang teratas Kumang dan Keling Gawai Dayak Sibu pada Majlis Pra Gawai Dayak Sibu 2017.

ALICE Rebut dan Zaidi Adros Tomy masing-masing dinobatkan sebagai Kumang dan Keling Gawai Dayak Sibu pada Majlis Pra Gawai Dayak Sibu 2017 di sebuah hotel terkemuka di Sibu, malam Ahad lalu.

Gelaran Lulong Gawai Sibu atau naib johan jatuh kepada Mitchelle Linjah Guntor manakala gelaran Lajja (naib johan) Bonnie Unsil.

Susan Sema mendapat gelaran Selinggar Matahari Gawai Sibu atau tempat ketiga sementara gelaran Bungai Nuing (tempat ketiga) disandang Elyister Philip.

Peserta Kumang yang mendapat hadiah sagu hati ialah Michelle Ivy, Yustina Kulok, Zurana Eba, Elfidia Remmy, Stacey Hecate, Valentiny Ekoh dan Noraini Roselind.

Justine Ipas, Fredy Jabu, Wilson Jantum, Herscell Aldren dan Jackson Joshua telah memenangi hadiah sagu hati bagi Keling.

Miss Talent Gawai Dayak Sibu jatuh kepada Stacey Hecate yang telahpun diumumkan pada peringkat saringan sebelum ini.

Kumang Gawai membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala, hamper, selempang dan mahkota manakala naib johan menerima RM1,200, piala, hamper dan selempang dan tempat ketiga RM1,000, piala, hamper dan selempang.

Tujuh pemenang lagi iaitu tempat keempat hingga ke-10 menerima RM150 setiap seorang sebagai sagu hati.

Keling Gawai pula membawa pulang RM1,500, piala dan hamper manakala naib johan menerima RM1,200, piala dan hamper dan tempat ketiga RM800, piala dan hamper.

Lima peserta lagi menerima RM100 setiap seorang sebagai hadiah sagu hati.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.

Hadir sama ialah Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Chambai Lindong.

Majlis Pra Gawai Dayak Sibu 2017 adalah anjuran SDNU Sibu dengan kerjasama Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu, SDNU Rajang dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Sibu.