Anda di sini

Wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam bilik penginapan

Advertisement
 Polis menjalankan siasatan di lokasi seorang wanita ditemukan mati di dalam bilik penginapan.
DIPERCAYAI DIBUNUH: Polis menjalankan siasatan di lokasi seorang wanita ditemukan mati di dalam bilik penginapan.

SANDAKAN: Seorang wanita yang baharu mendaftar masuk beberapa jam di sebuah rumah penginapan tingkat satu di Jalan Dua Pusat Bandar di sini, ditemukan mati dipercayai dibunuh di dalam bilik penginapan berkenaan, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, mangsa berumur 20-an dipercayai warga asing dijumpai terbaring di atas katil dalam bilik yang disewanya itu.

Mangsa mendaftar masuk ke bilik rumah penginapan itu seorang diri kira-kira jam 5 pagi (Ahad) selepas membayar bilik berkenaan kepada penjaga rumah penginapan terbabit. Mangsa masuk tidur ke bilik, manakala penjaga itu pun tidur,” katanya.

Beliau berkata, penjaga rumah penginapan berkenaan merupakan seorang wanita berumur 60-an telah membuka pintu bilik mangsa pada sebelah pagi selepas mendapati mangsa tidak keluar dari bilik berkenaan.

Setelah membuka pintu, penjaga mendapati mangsa telah meninggal dunia dan memaklumkan kepada pihak polis,” katanya yang turut berada di lokasi kejadian.

Mohd Azhar berkata pihaknya yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang tikaman pada badan mangsa tetapi tidak menolak kemungkinan mangsa dilemaskan.

Setakat ini, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Difahamkan, pihak polis telah mengambil keterangan lanjut daripada penjaga penginapan berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pihak polis di talian 089-21444 bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Azhar berkata pihaknya menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisement