Anda di sini

Wanita dan teman lelaki didakwa aniaya, bunuh anak

Advertisement

Mangsa patah tulang rusuk kanan, banyak lebam di tubuh

 Nor Solihah ibu kepada Muhammad Adam Daniel didakwa di Mahkamah Sesyen dekat Kajang, semalam berhubung kes penderaan anaknya sehingga mati, dua minggu lepas. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Nor Solihah ibu kepada Muhammad Adam Daniel didakwa di Mahkamah Sesyen dekat Kajang, semalam berhubung kes penderaan anaknya sehingga mati, dua minggu lepas. — Gambar Bernama

KAJANG: Seorang wanita dan teman lelakinya didakwa di dua mahkamah di sini, semalam berhubung kes seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera sehingga mati, dua minggu lepas.

Di Mahkamah Majistret, Muhammad Rohaizat Tan, 39, seorang tukang masak sebuah restoran didakwa membunuh Muhammad Adam Daniel Abdul Hafiz, yang berusia dua tahun 10 bulan dan merupakan anak teman wanitanya, di sebuah rumah di Jalan Dato Seri P.Alagendra 2, Kajang Plaza, di sini antara jam 5 pagi hingga 6.30 pagi pada 13 Mei lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki berambut panjang itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris, yang kemudian menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di Mahkamah Sesyen pula, ibu kandung kanak-kanak itu, Nor Solihah Abdul Majid, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai orang yang mempunyai penjagaan kepada mangsa telah menganiaya kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah taska di Jalan Kajang Impian 2/9, Taman Kajang Impian, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi di sini pada 10 malam, 12 Mei lepas.

Wanita itu, yang bekerja sebagai pembantu taska didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia tidak lagi bekerja.

Saya tak ada anak lain.. itu (mangsa) satu-satu anak saya. Saya menjaga anak itu dengan hasil titik peluh saya... gaji saya RM1,000 cukup untuk tanggung anak saya,” kata wanita itu sambil menangis teresak-esak.

Hakim Noridah Adam membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai akibat didera dan hasil bedah siasat mendapati satu daripada tulang rusuk kanan kanak-kanak itu patah selain terdapat banyak kesan lebam baharu pada tubuhnya.

Mangsa turut mengalami pendarahan dalaman akibat pankreas koyak dan punca kematiannya disebabkan oleh kecederaan abdomen yang dipercayai kesan daripada objek tumpul. — Bernama

Advertisement