Anda di sini

Skim JJPTR: Tiga lelaki direman dua hari

Advertisement
 Tiga lelaki disyaki terlibat dalam penipuan skim pelaburan JJ Poor to Rich (JJPTR) termasuk dalangnya direman dua hari Mahkamah Majistret Taiping dekat Taiping, semalam. — Gambar Bernama
TIPU: Tiga lelaki disyaki terlibat dalam penipuan skim pelaburan JJ Poor to Rich (JJPTR) termasuk dalangnya direman dua hari Mahkamah Majistret Taiping dekat Taiping, semalam. — Gambar Bernama

TAIPING: Tiga lelaki termasuk dalang skim pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) direman dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga individu berusia 28 hingga 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Izura Syed Mashor.

Mohd Shukri Ahmad Mansor dan G.Jaya Prem yang mewakili mereka berkata anak guamnya akan terus memberi kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan dilakukan.

Ketiga-tiga lelaki itu ditahan selepas seorang lelaki membuat laporan di balai polis Kamunting baru-baru mendakwa kerugian RM4,700 selepas menyertai JJPTR.

Skim JJPTR dipercayai mengaut keuntungan RM1.7 bilion daripada pelaburan mangsa-mangsanya.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membebaskan kesemua lelaki itu dengan jaminan polis.

Pada 12 Mei lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan polis Pulau Pinang bersama pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA),  Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Cyber Security Malaysia melakukan serbuan terhadap JJPTR di lapan lokasi di sekitar Pulau Pinang.

Kesemua lapan lokasi itu terdiri daripada beberapa pejabat dan unit kediaman, yang dipercayai digunakan sebagai pejabat operasi sindiket itu.

Seramai 19 individu terdiri daripada 15 pekerja dan empat pelabur berusia dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun turut ditahan. — Bernama

Advertisement