Anda di sini

Pukguksong-2 sedia dikerah: Utara

Advertisement

Ujian berjaya, misil jarak sederhana yang menggunakan minyak asli kini sempurna

 Seorang lelaki menonton laporan berita di televisyen mengenai ujian terbaharu misil Pukguksong-2 oleh Korea Utara di sebuah stesen kereta api di Seoul, semalam. — Gambar AFP
SEDIA DIKERAH: Seorang lelaki menonton laporan berita di televisyen mengenai ujian terbaharu misil Pukguksong-2 oleh Korea Utara di sebuah stesen kereta api di Seoul, semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Korea Utara semalam mengumumkan misil jarak sederhana Pukguksong-2 bersedia bagi pengerahan selepas satu ujian pada hujung minggu.

Agensi Berita Pusat Korea milik negara menyatakan pemimpin Utara Kim Jong-un telah menyaksikan pelancaran kelmarin, yang menimbulkan kecaman antarabangsa dan ugutan sekatan lebih tegas.

Misil yang diuji adalah Pukguksong-2, yang menggunakan minyak asli yang membenarkan pelancaran serta-merta, menurut KCNA.

Setakat ini hampir semua misil Utara menggunakan minyak cecair yang perlu diisi dengan cermat bersama bahan pendorong sebelum pelancaran, sementara misil minyak asli boleh dilepaskan jauh lebih cepat.

Ia secara dramatik memendekkan masa bagi sebarang cubaan campur tangan dan menghalang pelancaran, memerlukan mana-mana bentuk keputusan dibuat dengan lebih pantas.

Pegawai tentera Seoul sebelum ini menyatakan Pukguksong-2, versi berasaskan darat bagi senjata yang dilancarkan kapal selam di Pyongyang menggunakan minyak asli.

Kim menyatakan dengan bangga bahawa Pukguksong-2 adalah satu misil yang sangat tepat dan sejenis senjata strategik yang berjaya, menurut KCNA, sambil menambah beliau meluluskan pengerahan bagi sistem senjata ini untuk digunakan.

Pelancaran telah mengesahkan sepenuhnya kemampuan dan ketepatan alat tersebut, dan sistem panduan kepala peluru peringkat terakhir, menurut KCNA, sambil menambah keputusan ujian adalah sempurna.

Imej yang dibawa oleh Rodong Sinmun, bahagian media rasmi bagi pihak pemerintah Parti Buruh di Korea, menunjukkan Kim yang tersenyum bertepuk tangan dikelilingi para pembantunya di sebuah pusat pemerhatian luar ketika misill ditembak ke udara.

Ia juga mempunyai beberapa gambar Bumi yang dikatakan diambil dari roket di angkasa, gambar pertama sebegitu yang dikeluarkan oleh pihak Utara.

Kim menyatakan beliau amat gembira melihat gambar-gambar Bumi yang diambil roket mereka dan dunia kelihatan cantik, menurut KCNA, sambil menambah bahawa beliau telah mengarahkan misil itu segera dihasilkan secara besar-besaran.

Misil tersebut, yang telah dikatakan Washington sebagai berjarak sederhana, dilepaskan dari Pukchang di wilayah Pyongan Selatan dan bergerak kira-kira 500 kilometer sebelum mendarat di Laut Jepun, menurut pasukan tentera Selatan.

Roket itu menggunakan sistem pelancaran dingin, jelas KCNA.

Teknologi tersebut menggunakan gas yang ditekan bagi meledak sebiji misil ke atas sebelum enjinnya dihidupkan di pertengahan perjalanan.

Ia dianggap lebih selamat dan memudahkan lokasi pelancaran dirahsiakan.

Jurucakap Ketua Staf Bersama di Seoul memberitahu wartawan bahawa pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan AS menilai bahawa Korea Utara telah menyimpan data yang bermakna dalam mendahului kemampuan teknologi misilnya melalui pelancaran kelmarin.

AS, Korea Selatan dan Jepun mengecam sepenuhnya pelancaran itu dan memohon pertemuan tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diadakan hari ini.

Pelancaran dibuat hanya seminggu selepas pihak Utara melepaskan tembakan misil jarak dekat Hwasong-12, yang menurut Pyongyang sebagai berkemampuan membawa kepala peluru nuklear yang berat. — AFP

Advertisement