Anda di sini

Pembangunan modal insan berkualiti keutamaan Sabah

Advertisement

Kerajaan negeri, pendidik diminta bekerja sebagai satu pasukan

BEAUFORT: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan berkualiti kerana ia amat penting dalam usaha menjayakan agenda pembangunan holistik di Sabah.

Sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri pada 2003, katanya, pembangunan modal insan menjadi antara dasar Halatuju Negeri Sabah dalam usaha memacu pembangunan menyeluruh negeri itu.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri dan warga pendidik di Sabah bekerja sebagai satu pasukan bagi merealisasikan aspirasi melahirkan lebih ramai cerdik pandai tempatan yang bakal meneruskan momentum pembangunan pesat di Sabah.

Apabila saya menjadi Ketua Menteri pada 2003, saya memperkenalkan dasar Halatuju Negeri Sabah merangkumi pertanian, pembuatan, pelancongan dan pembangunan modal insan. Sejak awal lagi, saya menyedari betapa pentingnya anak-anak kita mempunyai pendidikan yang cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini, semalam. Turut hadir Exco Pendidikan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan anugerah Tokoh Guru kepada dua Tokoh Guru Negeri Sabah pada tahun ini iaitu Dr Dayu Sansalu dan Datin Patimah Ali.

Mengulas lanjut, Musa berkata dengan adanya anak-anak yang berpendidikan, generasi terpelajar itu kelak bukan sahaja menyumbang bakti kepada ibu bapa tetapi juga kepada usaha membangunkan negeri dan negara dalam pelbagai sektor ekonomi.

Sebagai contoh, katanya, Sabah memerlukan tenaga mahir dan cerdik pandai tempatan untuk menerajui sektor industri minyak dan gas di negeri itu termasuk projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang, yang merupakan projek baja urea terbesar di Asia Tenggara.

Untuk kita menyelenggarakan industri ini, kilang ini, kita mahu anak-anak yang pandai dan berkemahiran. Kita mahu anak-anak Sabah yang pandai untuk mengendalikan kilang ini,” katanya yang yakin rakyat Sabah mampu memperoleh pengetahuan dan kemahiran sektor industri minyak, gas serta baja urea seperti pencapaian anak-anak muda Poland dalam sektor itu.

Menurutnya ketika melawat Poland bagi menunjau industri baja urea, beliau kagum kerana tenaga mahir yang mengendalikan industri di sana terdiri daripada anak muda Poland. — Bernama

Advertisement