Anda di sini

Mahkamah rayuan kekal ganti rugi RM357,500 kepada balu

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan kuantum ganti rugi berjumlah RM357,500 yang diberikan kepada seorang balu susulan kematian suaminya semasa dalam tahanan polis, lima tahun lepas.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim, diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, menolak rayuan kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengetepikan jumlah ganti rugi teladan sebanyak RM200,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap tuntutan saman N. Selvi, 47 dan anak perempuannya, C. Rita, 23.

Pada 9 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan ganti rugi dibayar iaitu ganti rugi teladan RM200,000, kehilangan penanggung RM144,000, RM10,000 kerana kehilangan dan ganti rugi khas RM3,500 dibayar kepada dua beranak itu atas kematian P. Chandran, 47, disebabkan kecuaian polis.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama Puan Sri Zaleha Yusof dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Suraya Othman berkata, kuorum berkenaan mendapati tiada sebab untuk mengganggu kuantum ganti rugi teladan RM200,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi kepada waris si mati.

Beliau turut memerintahkan perayu - lima pegawai polis, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia, membayar kos RM10,000.

Pihak perayu, bagaimanapun, hanya merayu terhadap kuantum ganti rugi teladan.

Chandran, seorang pemandu lori, ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes penculikan seorang bayi baharu dilahirkan.

Pada September 2015, Selvi dan Rita memfailkan saman sivil terhadap tujuh perayu itu dengan mendakwa kematian Chandran disebabkan kecuaian defendan dan tindakan mereka menjurus kepada salah laku awam serta melanggar hak berperlembagaan si mati.

Pada 16 Jan, 2015, Korober Ahmad Bache (kini Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi), yang mendengar inkues berhubung kematian Chandran, memutuskan bahawa polis bertanggungjawab  terhadap kematian mangsa apabila gagal menyediakan bantuan perubatan pada masa yang tepat. — Bernama

Advertisement