Anda di sini

Letupan bom di hospital Thailand, 24 cedera

Advertisement
 Kamthorn beredar sejurus meninjau keadaan di Hospital Phramongkutklao di Bangkok, semalam. — Gambar Reuters
MENGEJUTKAN: Kamthorn beredar sejurus meninjau keadaan di Hospital Phramongkutklao di Bangkok, semalam. — Gambar Reuters

BANGKOK: Satu letupan bom di sebuah hospital di ibu negara Thailand Bangkok menyebabkan 24 cedera semalam, ketika ulang tahun ketiga rampasan kuasa tentera pada 2014.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas letupan yang menggegarkan Hospital Phramongkutklao, yang popular kalangan askar dan keluarga mereka serta pesara tentera.

Ia adalah sebutir bom kerana kami menemui cebisan yang digunakan untuk membuatnya,” kata Kamthorn Aucharoen, komander pasukan ordinan bahan letupan polis, sambil mengakui mereka belum lagi mengetahui dalang serangan.

Buat masa sekarang, pihak berkuasa sedang memeriksa rakaman kamera litar tertutup,” jelasnya lanjut.

Jurucakap kerajaan Sansern Kaewkamnerd berkata, 24 cedera kebanyakannya akibat terkena serpihan kaca yang berterbangan.

Kenyataan tersebut diakui unit keselamatan kebangsaan tentera.

Anggota tentera kemudian menyita pekarangan hospital, menurut wartawand i tempat kejadian.

Timbalan ketua polis negara Jeneral Srivara Rangsibrahmanakul berkata, bom tersebut disembunyikan di dalam satu bekas dekat pintu masuk farmasi hospital.

Semalam merupakan ulang tahun rampasan kuasa tentera pada 22 Mei, 2014 yang menggulingkan kerajaan yang dilantik secara demokrasi dan menamatkan kekacauan berbulan-bulan termasuk demonstrasi jalanan berdarah.

Sejak rampasan kuasa, junta yang dikenali sebagai Majlis Keamanan dan Undang-Undang Negara, mengekang penentang dan meningkatkan pendakwaan di bawah undang-undang lese majeste dan fitnah.

Awal semalam, sebutir bom meletup di Yala, menyebabkan beberapa pegawai tentera cedera.

Pada 15 Mei lalu, sebutir bom kecil meletup dekat Teater Negara di kota lama Bangkok, menyebabkan dua cedera.

Setakat ini dalang kejadian belum diketahui.

Letupan turut menyusuli kejadian bom kereta di sebuah pusat beli-belah di wilayah Pattani yang mencederakan 61 orang yang menurut pihak berkuasa didalangi pemberontak pemisah.

Pilihan raya umum akan diadakan di Thailand menjelang penghujung tahun depan.

Human Rights Watch yang berpangkalan di New York mengecam serangan di hospital itu sebagai tindakan kejam tidak berperikemanusiaan yang melanggar hak asasi manusia, kata Sunai Phasuk, penyelidik kanan tempatan kumpulan tersebut, dalam Twitter. — Reuters

Advertisement