Anda di sini

Bekas pesakit jantung kanak-kanak kini hidup ceria, aktif

Advertisement
 Jean (kanan), Edward (tengah) dan Christine memasukkan wang ke dalam kotak derma simbolik kepada pelancaran Giving Back oleh Gleneagles KK.
DANA: Jean (kanan), Edward (tengah) dan Christine memasukkan wang ke dalam kotak derma simbolik kepada pelancaran Giving Back oleh Gleneagles KK.

KOTA KINABALU: Tiada ungkapan yang dapat diberikan selain ucapan terima kasih oleh pasangan suami isteri, Siti Noreha Ibrahim, 34, dan Jafarlie Matusin, 35, selepas anak mereka Siti Nurnafisyah, 4, yang menghidapi penyakit jantung berlubang kini menjalani hidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Siti Noreha ketika ditemui pemberita melahirkan perasaan syukur dan berterima kasih kepada pihak yang telah membantu membuat pembedahan jantung anaknya di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu (Gleneagles KK).

Pada mulanya, kami menghantar Siti Nurnafisyah ke hospital kerajaan Hospital Queen 1, tetapi memandangkan masa menunggu giliran yang diambil agak lama, kami disarankan untuk menghantar Siti Nurnafisyah ke Hospital Gleneagles.

Selepas perbincangan, dalam masa dua minggu kami telah mendapat keputusan dan dalam masa sebulan, Siti Nurnafisyah telah menjalani pembedahan dan syukur kini dia bermain aktif dan lasak bersama adiknya Siti Nurnazihah, 2 tahun,” katanya gembira.

Siti Nurnafisyah merupakan pesakit kanak-kanak pertama yang menjalani pembedahan jantung oleh pakar jantung kanak-kanak di hospital berkenaan pada tahun 2016 dengan dana yang diperolehi daripada Khazanah Malaysia.

Dia ditemui selepas majlis perasmian sambutan Ulang Tahun Kedua Hari Terbuka Gleneagles Kota Kinabalu di Plaza Central Riverson, di sini, kelmarin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles KK Jean FrancOis Naa, program berkenaan dianjurkan bagi mengutip dana menyokong dan membantu Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) dalam usaha tanggungjawab sosial hospital berkenaan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sementara itu, Presiden SOSHF Datuk Christine Vanhouten berkata sejak penubuhan persatuan itu pada tahun 1981, seramai 636 pesakit berusia seawal dua bulan hingga 71 tahun telah berjaya dibantu oleh persatuan.

Pada tahun ini, kita menyasarkan sebanyak 17 kes untuk dihantar bagi menjalani pembedahan dan sejak Januari, lima pesakit telah berjaya dibantu oleh SOSHF.

Jika dahulu, pesakit dihantar menjalani pembedahan di Singapura, Institut Jantung Negara, Hospital Adventist Penang, Gleneagles Kuala Lumpur, Filipina dan Australia, kini pesakit jantung boleh mendapatkan rawatan dan pembedahan di Hospital Queen 1 dan terkini di Gleneagles KK,” katanya.

Christine turut memaklumkan pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga telah menjalankan kerjasama dengan Hospital Sejong, Korea melalui program International Food For The Hungry Humanitarian Project untuk mengenal pasti pesakit yang memerlukan bantuan menjalani pembedahan jantung di Korea.

Sejak 11 tahun lepas, 134 pesakit telah menjalani pembedahan jantung percuma dengan tajaan Hospital Sejong Korea dan pihak kami menanggung kos tiket kapal terbang, insurans, duit perbelanjaan dan lain-lain kos pesakit.

Selain itu, kami juga menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kepenggunaan dalam usaha membantu pesakit-pesakit jantung di negeri ini,” tambahnya.

Christine turut mengalu-alukan sokongan masyarakat tempatan untuk membeli meja di Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun SOSHF ke-36 pada 15 Julai nanti yang akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah.

Hampir 500 orang memeriahkan acara sepanjang hari itu dan turut dihadiri oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Edward Yong Oui Fah.

Advertisement