Anda di sini

Awasi anak guna alat komunikasi, elak penyalahgunaan: Jainab

Advertisement
 Jainab merakam gambar kenangan bersama pengunjung selepas menyempurnakan gimik pelancaran sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sabah.
CERIA: Jainab merakam gambar kenangan bersama pengunjung selepas menyempurnakan gimik pelancaran sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Ibu bapa atau penjaga di negeri ini diingatkan supaya sentiasa membimbing serta mengawasi penggunaan teknologi komunikasi oleh anak-anak masing-masing.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, ia penting memandangkan pada masa kini, pelbagai isu negatif melibatkan penyalahgunaan sebarang alat teknologi komunikasi dalam kalangan generasi muda.

Misalnya, penemuan Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Kampung Likas yang mendapati skor domain keluarga dan teknologi komunikasi adalah pada skala 6.69 melalui tiga indikator iaitu pengaruh aplikasi komunikasi, penggunaan SMS dan panggilan telefon serta kawalan terhadap penggunaan teknologi komunikasi.

Berdasarkan skor ini, kita adakan kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Sabah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan pengaruh teknologi komunikasi maklumat dalam kehidupan keluarga... ibu bapa juga perlu memainkan peranan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Ibu peringkat Negeri Sabah, di sini, kelmarin.

Jainab berkata Kampung Likas terpilih sebagai salah satu lokasi bagi Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) yang dilancarkan oleh beliau sendiri mewakili Ketua Menteri pada tahun lepas.

Sehubungan itu, seiring dalam usaha memperkasakan keluarga dan komuniti, kementeriannya melaksanakan program intervensi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan semua pihak, sama ada kerajaan, bukan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Program ini menggunakan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) sebagai pengukuran bagi memantau kesejahteraan keluarga dalam komuniti.

Justeru, ia bertepatan dengan sambutan Hari Ibu tahun ini yang dilaksanakan secara bersama di Kampung Likas yang menjadi salah satu daripada 14 komuniti Face seluruh negara, di mana semua lokasi turut melaksanakan program sama,” jelasnya.

Jainab berharap melalui pelbagai aktiviti yang disediakan sempena sambutan Hari Ibu, akan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat sekaligus memperkasakan hubungan kekeluargaan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pencapaian indeks kesejahteraan keluarga kepada skor 8.0 menjelang tahun 2020.

Terdahulu, antara aktiviti yang berlangsung sempena sambutan itu adalah pendaftaran suntikan HPV wanita, pertandingan karaoke Hari Ibu, pertandingan mewarna, sesi taklimat mengenai penjagaan kesihatan wanita dan ibu, serta pameran jabatan dan agensi swasta.

Advertisement