Anda di sini

‘Permata Saadah’ karya terbaharu daripada Noraniza Idris

Advertisement
__alt__

RATU Irama Malaysia, Noraniza Idris tampil dengan single kedua tahun ini berjudul ‘Permata Saadah’ yang dilancarkan baru-baru ini.

 Single bergenre ‘Zapin Fusion’ yang diterbitkan syarikat rakamannya Noraniza Idris Production Ventures ini ditaja sepenuhnya oleh syarikat perkhidmatan penyediaan katering perkahwinan iaitu Permata Saadah (M) Sdn Bhd.

 Menurut Noraniza, kolaborasi ini terhasil daripada pertemuan beliau dan pengarah katering Permata Saadah dalam satu program keusahawanan.

 “Ketika itu Permata Saadah menaja makanan untuk program tersebut dan ketika melihat ‘bunting’ mereka, Kak Ani rasa tertarik dengan perkataan Permata Saadah dan memanjangkan hal tersebut kepada penulis lirik lagu ini, Fedtri Yahya sehinggalah Fedtri menciptakan lirik yang membuatkan kak Ani sangat teruja,” ujar Noraniza semasa majlis pelancaran single ini.

 Beliau berasa terharu setelah mengetahui yang pemilik syarikat katering Permata Saadah merupakan seorang yang kurang upaya dan nama syarikat itu diambil bersempena nama ibunya.

 MAKSUD MENDALAM

Bagi Pengarah Katering Permata Saadah, Mohd Syahid Abdal Kamerudin pula beliau bersetuju untuk menaja lagu ‘Permata Saadah’ kerana perkataan itu sendiri yang membawa maksud kebahagiaan yang tidak ternilai.

 “Lagu itu ada maksudnya yang tersendiri sebab penuh dengan penghargaan pada ibu, dan wanita iaitu isteri saya,” tambahnya lagi.

 Selain itu, Syahid juga memberitahu yang beliau sangat teruja dengan lagu ini yang membawa maksud yang sangat mendalam serta mengangkat tinggi martabat seorang wanita istimewa iaitu ibunya sendiri, Saadah.

 Selain Fedtri Yahya sebagai penulis lirik, lagu ini turut melibatkan Rosli Selasih sebagai komposer.

 Menurut Noraniza lagi, iramanya menjadi inspirasi kepada lambang keunikan dan kekuatan semangat seorang wanita secara luaran dan dalaman yang sentiasa cekal dan bijak serta keunikan wanita timur yang dalam lembut ada tegasnya.

 DUTA SYARIKAT

Majlis turut menyaksikan pelantikan penyanyi Irama Malaysia ini sebagai duta rasmi kepada syarikat Katering Permata Saadah.

 “Kak Ani berasa sangat bersyukur dilantik menjadi duta kepada katering Permata Saadah dan akan sama-sama membangunkan produk ini dalam jangka masa panjang,” katanya.

 Permata Saadah Wedding & Event merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis perkahwinan yang mengangkat nilai dan tradisi warisan melayu melalui sajian dan hidangan yang berkonsepkan melayu tradisional.

 — Bernama

  • oleh
  • Advertisement