Anda di sini

Peluang pekerjaan graduan IT masa kini lebih meluas

Advertisement
 (Dari kiri) Johari dan Hakim ketika bersiaran secara langsung bersama DJ Rezz dari Cats Fm baru-baru ini.
SESI RANDAU: (Dari kiri) Johari dan Hakim ketika bersiaran secara langsung bersama DJ Rezz dari Cats Fm baru-baru ini.

BIDANG teknologi maklumat (IT) masa kini jauh berbeza dibanding dengan 10 tahun lalu di mana ketika itu ia adalah salah satu bidang yang bukan menjadi pilihan utama, khusus bagi pelajar lepasan sekolah yang berhasrat mahu menyambung pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

 Menurut Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Johari Abdullah, ia adalah berikutan pada tempoh tersebut, IT masih belum berkembang dan kebergantungan kepada teknologi itu masih belum menyerlah.

 Bidang IT itu, katanya, tenggelam oleh bidangbidang lain yang lebih popular ketika itu termasuk perubatan, kejuruteraan dan banyak lagi.

 Malah, dipercayai ketika itu, bidang IT tidak menawar atau membuka peluang pekerjaan meluas dan banyak kepada graduan yang menamatkan pengajian dalam bidang tersebut.

 “Tetapi berbeza dengan hari ini di mana kebergantungan masyarakat kepada IT adalah hampir keseluruhan terutama dalam menjalankan aktiviti dan rutin harian, termasuk menjadi elemen utama dalam melakukan kerja – seperti penggunaan e-mel.

 “Justeru, ingin saya katakan di sini, peluang pekerjaan terbuka kepada para siswazah yang mengambil jurusan IT di peringkat IPT sudah banyak dan meluas.

 “Malah, kajian setakat empat tahun lalu, purata siswazah dalam jurusan IT yang ditawarkan bekerja mencecah 80 peratus, dan ia adalah antara yang tertinggi daripada jurusanjurusan lain,” katanya.

 Beliau berkata demikian dalam sesi randau bagi Rancangan Rentak Kenyalang Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak bertajuk “Menjana Tenaga Kerja Mahir dalam Memenuhi Kehendak Ekonomi Digital”, Jumaat lalu.

 Tambah beliau lagi, bidang IT juga merupakan bidang pengajian yang fleksibel dan kreatif.

 “Jika anda (siswazah) meminati bidang muzik, anda juga boleh menggunakan IT dalam muzik, jika minat Sejarah, anda juga boleh menggunakan IT dalam Sejarah dan jika anda meminati bidang perubatan, misalnya, anda juga boleh menggunakan IT dalam perubatan.

 “Tidak mengira apa juga minat anda, IT pasti juga boleh digabungkan sekali dengan minat tersebut,” jelasnya.

 Mengulas mengenai dasar ekonomi digital yang ditekankan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, kata Johari, ia adalah satu langkah bijak dalam usaha untuk mencapai status negeri maju 2030.

 Katanya, generasi Y hari ini yang dikhuatiri tidak dapat menyesuaikan diri dengan zaman IT bukanlah satu kebimbangan lagi.

 “Mereka (generasi Y) mendapat pendedahan yang lebih baik mengenai kemahiran IT berbanding kita, jadi tidak perlu bimbang mereka tidak dapat menyesuai diri dengan zaman kecanggihan ini,” jelasnya lagi.

 Hadir sama ialah Pegawai Komunikasi AZAM Sarawak Mohd Hassnal Hakim.

  • oleh
  • Advertisement