Anda di sini

Sukaneka meriahkan Hari Keluarga Tabika Perpaduan Permyjaya Miri

 Kanak-kanak bekerjasama menghulurkan cawan satu sama lain untuk menyusun ‘Triangle Cup’.
SERONOK: Kanak-kanak bekerjasama menghulurkan cawan satu sama lain untuk menyusun ‘Triangle Cup’.
 Ibu bapa turut mengambil bahagian dalam permainan lambung bola kain batik.
MERIAH: Ibu bapa turut mengambil bahagian dalam permainan lambung bola kain batik.

HARI Keluarga Tabika Perpaduan Permyjaya Miri baru-baru ini berlangsung meriah dengan pengisian pelbagai program sukaneka melibatkan kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

 Program bermula seawal jam 8 pagi dengan acara sukaneka kanak-kanak melibatkan bola batik terapung, menyusun struktur cawan (Triangle Cup) dan pertandingan mewarna.

 Ibu bapa yang hadir turut menyertai sukaneka menerusi permainan lambung bola kain batik, ‘bombastic balloon’, telur itik, gelung rotan berantai dan tarik tali.

 Program tahunan itu merupakan salah satu platform untuk mengeratkan hubungan akrab di kalangan ibu bapa dan pihak sekolah di samping mempromosikan gaya hidup sihat.

 Pada masa sama ia juga dapat memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain terutama dalam pemainan yang memerlukan kerjasama dalam satu pasukan.

 Majlis perasmian Hari Keluarga Tabika Perpaduan Permyjaya Miri disempurnakan oleh Pegawai Perpaduan Bahagian Miri Giri Nyareng.

 Hadir sama ialah Pengerusi Pengelola Frauline Begok dan wakil guru Tadika Perpaduan Bandar Baru Permjaya Yunani Japar.

 Dalam ucapannya, Giri memuji inisiatif Tabika Perpaduan Permyjaya Miri yang menganjurkan Hari Keluarga berkenaan yang dapat merapatkan hubungan kukuh antara pihak tadika dan ibu bapa.

 Pada masa sama penglibatan ibu bapa dalam sukaneka juga katanya menunjukkan golongan itu memberi sokongan padu terhadap program yang dianjurkan pihak tadika.

 Giri berharap program sedemikian diteruskan pada masa akan datang bagi mempromosikan budaya bersukan, bekerjasama dan meningkatkan perpaduan di kalangan peserta.