Anda di sini

Pesta Ubi Kayu disambut pertama kali di Nabawan

Advertisement

NABAWAN: Pesta Elau Eluui yang bermaksud Pesta Ubi Kayu yang diraikan pertama kali oleh masyarakat setempat di daerah ini memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi di daerah itu.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Bobbey A Suan berkata ia kerana melalui sambutan itu pelbagai produk makanan berasaskan ubi kayu dapat diketengahkan untuk dikomersil secara lebih meluas.

“Kita mempunyai matlamat dalam jangka panjang untuk mengadakan ‘Pesta Elau Eluui’ ini agar masyarakat di daerah ini dapat menghasilkan sesuatu yang memberikan impak kepada perubahan sosioekonomi mereka,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pelancaran pesta peringkat daerah Nabawan itu, kelmarin.

Katanya sambutan itu bukan hanya tertumpu pada hiburan atau sebagainya. Pesta yang berasaskan tumbuh-tumbuhan itu juga merupakan salah satu usaha daya tarikan kedatangan pelancong dan pelabur dari luar dan dalam negara.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian pesta, Bobbey yang juga ADUN Nabawan berkata kerajaan negeri amat menyokong usaha mana-mana daerah di luar bandar untuk menganjurkan pesta seumpama itu dalam meningkatkan lagi pelbagai pendapatan sampingan masyarakat.

“Selain menonjolkan ubi sebagai tanaman yang sudah dikenali sumber makanan sejak dahulu lagi, pesta ubi juga dapat memberi peluang kepada masyarakat terutama golongan petani belajar mengkomersilkan produk berasaskan ubi,” katanya.

Pesta Ubi Kayu itu diserikan dengan pertandingan dan pameran hasil produk ubi kayu selain pertandingan ‘angalang’ (tarian tradisi) dan lagu-lagu tradisi.

Hadir sama, Pegawai Daerah Nabawan Fredian Gan selaku pengerusi induk Pesta Kaamatan Daerah Nabawan, Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Nabawan Sungkim Rumangun selaku pengerusi sambutan Elau Eluui, dan bekas Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Taimin Lumaing.

Selain Elau Eluui, turut diadakan Pesta Panawari dan sambutan Pesta Kaamatan sehingga 20 Mei ini yang akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman pada hari ini (Sabtu).

Advertisement