Anda di sini

Mahkamah tetap 13 Julai bicara kes lelaki simpan kereta curi

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 13 Julai depan perbicaraan lanjut kes seorang lelaki dituduh menyimpan sebuah kereta curi.

Manakala tertuduh dibenar dibebas dengan jaminan lanjut RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Mohd Faizal Yasin, 33, dari Kampung Lereng Bukit di sini telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Honda Civic 2.0 kepunyaan Zulkifli Abdullah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.20 petang, 25 April lalu di No.45 Kampung Lereng Bukit, Jalan Miri-Pujut di sini.

Sementara dalam kes berasingan, mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk perbicaraan satu lagi kes tertuduh yang didakwa dengan sengaja menyembunyikan harta curi iaitu sebuah Galaxy Tablet S jenama Samsung kepunyaan Liza Ismawi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 2 petang, 30 April lalu di sebuah lot di Jalan Pelita 3, Pusat Komersil Pelita di sini.

Bagi kesalahan itu, Mohd Faizal didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement