Anda di sini

Ringgit, mata wang berprestasi terbaik di Asia, selain Jepun

Advertisement

Pelabur asing jadi pembeli bersih ekuiti Malaysia 4 bulan berturut-turut

KUALA LUMPUR: Ringgit menjadi mata wang berprestasi terbaik di Asia, selain Jepun setakat ini pada suku kedua, meningkat 2.5 peratus berbanding dolar AS, kata Standard Chartered Bank Malaysia.

Beberapa faktor sokongan yang wujud untuk beberapa waktu sekarang ialah penilaian yang amat menarik dan peningkatan imbangan luaran,” katanya dalam satu nota semalam.

Bank itu berkata, halangan utama yang membendung minat kepada ringgit ialah sentimen lemah terhadap mata wang tersebut, yang kini nampaknya semakin baik.

Katanya, pelabur asing telah menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia untuk empat bulan berturut-turut dengan aliran masuk bersih AS$2.2 bilion setakat ini tahun ini.

Mungkin yang lebih penting untuk ringgit ialah pelabur asing juga menjadi pembeli bersih hutang Malaysia pada April.

Kami berpendapat peningkatan sentimen ini disebabkan pelbagai faktor domestik (membenarkan pelabur asing untuk melindung nilai sehingga 100 peratus pendedahan ringgit tanpa bukti dokumentari) seperti faktor global (aliran masuk berterusan ke pasaran sedang muncul menyebabkan penilaian yang regang di tempat lain),” katanya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan lebih rendah kepada 4.3250/3300 dolar AS dalam dagangan awal semalam berbanding 4.3210/3250 ketika ditutup kelmarin.

Standard Chartered berkata, wujud ruang besar untuk ringgit meningkat lagi berikutan aliran keluar portfolio dalam tempoh empat tahun lalu.

Walaupun ringgit yang lebih kukuh mungkin dilihat sebagai tanda keyakinan terhadap ekonomi domestik, kami berpendapat bank pusat mungkin berhasrat untuk membina semula rizab pertukaran asing lebih bersungguh-sungguh pada ketika tertentu,” tambah bank tersebut.

Rizab pertukaran asing Malaysia kini berada pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun, selepas mengambil kira bank pusat dalam kedudukan pendek bersih AS$17.7 bilion, setakat akhir Mac 2017. — Bernama

Advertisement