Anda di sini

Promosi pelancongan menerusi Internet, pemasaran atas talian

Advertisement
 Abdul Karim menunjukkan teks ucapan penggulungannya bagi Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan pada persidangan DUN semalam.
PENGGULUNGAN: Abdul Karim menunjukkan teks ucapan penggulungannya bagi Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan pada persidangan DUN semalam.

KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berganjak kepada penggunaan Internet dan pemasaran secara atas talian dalam mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.

Langkah ini menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah adalah sejajar dengan seruan kerajaan untuk membangunkan negeri ini ke arah ekonomi digital.

Penggunaan platform media sosial dan aplikasi mudah alih berkaitan pelancongan akan menjadi saluran utama kita untuk memasuki pasaran.

Ini akan meningkatkan penglihatan atas talian global dan membolehkan transaksi perniagaan dibuat tepat pada masanya,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementerian berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Tambah Karim, STB telah berhijrah daripada penggunaan laman web bagi  Borneo Jazz dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) kepada aplikasi mudah alih untuk berhubung dengan semua platform media sosial.

Ini katanya, menyediakan penyebaran maklumat yang lebih berkesan dan membolehkan data dikumpul dan dianalisis bagi perancangan masa depan.

Dalam usaha mencapai prestasi, STB akan mengembangkan kemunculan dalam TripAdvisor, memaksimumkan Search Engine Optimization (SEO), digital semua bahan promosi dan meningkatkan kemunculan dalam portal ‘call-for-action’.

Meskipun pemasaran digital diguna secara meluas, STB masih akan menyediakan pemasaran secara bersemuka kerana ia masih relevan dalam industri pelancongan,” katanya.

Menyentuh mengenai peranan penting muzium kepada sektor pelancongan di negeri ini, Karim berkata di bawah RMK11, Jabatan Muzium Sarawak telah diberi kepercayaan untuk membangunkan beberapa projek fizikal dan bukan fizikal.

Antaranya, pembinaan Kampus Muzium Sarawak yang mana kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka dibuka kepada umum pada 2020.

Projek lain termasuk pemuliharaan dan menaik taraf lima kubu bersejarah iaitu Kubu Lili di Betong, Kubu Emma di Kanowit, Kubu Hose di Marudi, Kubu Sylvia di Kapit dan Kubu Brooke di Meluan.

Advertisement