Anda di sini

Pencapaian wanita Malaysia membanggakan berbanding negara membangun lain

Advertisement
 Radin (duduk, tengah) bersama Joachim (lima kanan), Sualim (lima kiri), Faimin (empat kanan) dan Yahya (empat kiri) bersama para pegawai kerajaan dan peserta kursus selepas program itu.
TINGKAT TARAF HIDUP: Radin (duduk, tengah) bersama Joachim (lima kanan), Sualim (lima kiri), Faimin (empat kanan) dan Yahya (empat kiri) bersama para pegawai kerajaan dan peserta kursus selepas program itu.

RANAU: Pencapaian dan kejayaan kaum wanita dalam pelbagai bidang di negara ini berbanding negara membangun yang lain amat membanggakan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Panglima Radin Malleh di sini.

Beliau berkata dalam bidang pendidikan, kaum wanita di negara ini adalah lebih berjaya berbanding lelaki berdasarkan kepada jumlah kemasukan di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam negara mahupun di luar negara.

Ekoran itu, kita dapati telah berlaku peningkatan jumlah kaum wanita yang berjaya sama ada di sektor awam, sektor swasta dan juga dalam bidang perniagaan,” katanya ketika berucap menutup Program Khidmat Masyarakat Kursus Jahit Menjahit bagi kawasan Kundasang di Dewan Rest House, di sini, kelmarin.

Sungguhpun demikian, katanya, apabila dilihat secara keseluruhan, memang masih terdapat jurang perbezaan dengan kaum lelaki tetapi ia bukanlah alasan untuk kaum wanita tidak terus berusaha.

Radin berkata adalah amat merugikan jika sumber manusia terutama dari kalangan wanita luar bandar yang begitu ramai bilangannya terbiar begitu sahaja tanpa ada sesuatu usaha untuk membantu mereka mencapai kecemerlangan.

Beliau menyeru kepada kaum wanita khususnya yang tinggal di luar bandar supaya terus gigih membina kekuatan diri dengan ilmu pengetahuan.

Katanya kaum wanita terutama dari kalangan suri rumah perlu memiliki sekurang-kurangnya satu bidang kemahiran yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan dan seterusnya dapat melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menurut beliau projek Khidmat Masyarakat - Kursus Jahit Menjahit yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk membantu kaum wanita luar bandar.

Khususnya, dari kalangan suri rumah dan ibu tunggal meningkatkan kemahiran diri dalam bidang jahit-menjahit untuk menambah pendapatan keluarga tanpa bergantung kepada bantuan semata-mata.

Katanya peluang perniagaan menjahit boleh dimulakan secara kecil-kecilan dari rumah dan untuk permulaannya, mereka boleh mendapatkan tempahan dari saudara-mara, kawan-kawan atau jiran tetangga dengan tidak mengenakan upah yang terlalu tinggi kerana ia adalah sebagai permulaan perniagaan.

Apa yang penting adalah reaksi daripada pelanggan yang membolehkan mereka mengetahui mutu hasil jahitan masing-masing yang akan menjadi perintis atau tangga permulaan dalam perniagaan menjahit, yang boleh dikembangkan lagi kepada penghasilan produk jahitan lain seperti menjahit langsir, tudung, manik, sulaman, kraf tangan dan sebagainya.

Selain itu, bidang seni reka fesyen juga merupakan antara kerjaya yang boleh diterokai kerana ia mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan dan mereka perlu mengembangkan potensi perniagaan jahitan kepada sesuatu yang baharu dengan reka cipta sendiri seperti dalam pembikinan aksesori fesyen, hiasan rumah dan kraf tangan di samping dipasarkan secara dalam talian,” katanya.

Radin berkata walau sebanyak manapun peruntukan yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat, ia belum tentu membawa kejayaan selagi sikap dan pemikiran rakyat masih di tahap lama dan belum bersedia untuk menerima perubahan.

Jika sikap dan pemikiran sedemikian berterusan, beliau bimbang segala kemudahan dan peluang yang disediakan oleh kerajaan tidak dapat dimanfaatkan.

Justeru, beiau meminta agar semua peserta kursus dapat mengambil iktibar dan berusaha gigih demi memperolehi kehidupan yang lebih baik.

Beliau berharap dengan segala khidmat bakti yang diberikan oleh kerajaan itu dapat dibalas dengan usaha gigih yang berterusan dan dapat melahirkan usahawan wanita yang berjaya dari kalangan peserta pada masa hadapan.

Pada majlis itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga ADUN Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam telah menyumbang 30 mesin jahit yang digunakan semasa berkursus dan diserahkan kepada 30 peserta kursus sebagai modal permulaan untuk menceburi bidang jahitan.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sualim Sanan, Pegawai Daerah Faimin Kamin dan Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Yahya Karim.

Advertisement